Rabu, 30 April 2014

#HUDUD: #PemudaUMNO Sedia Bantu #PAS Kelantan Beri Penerangan @Azwanbro @ustazfathulbari @nikabduh @abdulhadiawang


Pergerakan Pemuda UMNO sedia membantu PAS Kelantan untuk memberi penerangan dan perincian berkaitan hukum hudud kepada golongan muda bukan Islam.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berharap kerajaan negeri Kelantan dapat menerima pelawaan Pemuda UMNO dan mengadakan perbincangan bersama untuk menerangkan versi hukum hudud.

"Pemuda bersifat positif dan gembira sekiranya Pemuda PAS boleh bersama-sama dengan pergerakan Pemuda UMNO bergabung untuk kita turun padang dan perjelaskan kepada masyarakat terutama generasi muda apakah hudud yang sebenarnya.

"Kita tidak ada niat politik, tidak langsung ada agenda untuk menjadi juara terhadap hukum hudud ini tetapi lebih penting adalah pemahaman yang sebenar dapat diberi kepada masyarakat umum," katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Azmir Yuzaimi Mohd Yunos.

Khairul Azwan mencadangkan pelbagai pendekatan termasuk program dialog di universiti-universiti tempatan, memperkenalkan video klip pendek tentang hukum hudud dan ceramah yang dimuat naik di laman sosial.

Mengulas tentangan terhadap hukum hudud daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), beliau berkata tentangan itu adalah kerana mereka risau serta tidak jelas dengan hukum hudud.

"Tetapi kepimpinan Pemuda MIC dan Gerakan dalam semangat setia kawan BN bersetuju untuk menerima penjelasan dan penerangan daripada biro agama untuk lebih memahami hukum ini," katanya.

Sementara itu, Azmir berkata PAS Kelantan perlu berhati-hati dalam melaksanakan hukum hudud kerana sekiranya pelaksanaan hukum itu gagal dan tidak adil, ia hanya akan membawa cemuhan daripada golongan bukan Islam.

Fathul Bari pula berkata fokus utama Pemuda adalah bagi membetulkan persepsi negatif berkaitan hukum hudud dan berharap kali ini PAS ikhlas untuk melaksanakan hukum tersebut di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini berkata dua draf undang-undang persendirian tentang hukum hudud telah siap dirangka dan menunggu masa untuk diperjelaskan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum dibentangkan di Parlimen. ~ Bernama

@azwanbro Umum Penubuhan Majlis Ulama Pemuda UMNO @NajibRazak @UstazFathulBari #AkademiPemuda


Sidang media Pemuda UMNO Malaysia bertempat di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengumumkan penubuhan Majlis Ulama Pemuda UMNO yang bertindak sebagai penasihat hal ehwal agama bagi sayap itu.

Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata, Majlis Ulama itu diketuai oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO Ustaz Fathul Bari Mat Jahya.

Majlis Ulama itu akan diletakkan di bawah Akademi Pemuda UMNO bagi membolehkan pelajar bidang agama di luar negara menyumbangkan idea kepada UMNO selepas tamat pengajian, katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato' Onn di sini, semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO yakin dengan pendekatan secara terbuka seumpama ini mampu menarik lebih ramai ulama muda dan golongan ilmuan agama memberikan pandangan sekaligus memastikan isu berkaitan agama yang dibangkit tidak terhad kepada pandangan beberapa ulama sahaja.

Penubuhan majlis itu susulan dari lawatan Pemuda UMNO ke Asia Barat pada 13 - 16 April yang lalu.

Dalam lawatan tersebut, delegasi Pemuda UMNO mangadakan pertemuan bersama Naib Presiden Pemuda AK Parti Mr Osman Timurtas di Turki.

Hasil pertemuan tersebut, kedua-dua pimpinan muda berjaya mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama dengan mengadakan Program Pertukaran Pemimpin Muda (Youth Leadership Exchange Program) diantara Malaysia dan Turki.

Kerjasama ini bukan sahaja tertumpu dalam bidang politik tetapi mencakupi bidang kebudayaan, ekonomi dan sosial di antara dua negara.

Kepimpinan AK Parti juga dijangka akan mengadakan lawatan balas ke Malaysia pada bulan Mei ini.




TAHNIAH Pemuda UMNO serta Ustaz Fathul Bari. Semoga idea Pemuda ini dicontohi oleh UMNO Malaysia.

#KrisisAirSelangor: Pemuda UMNO Ingin Tahu Perancangan Kerajaan Negeri @azwanbro @khalid_ibrahim


Pergerakan Pemuda UMNO ingin bertanya kepada kerajaan Negeri Selangor apakah mereka mempunyai perancangan untuk menangani krisis air di Selangor.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun dalam satu sidang media semalam, mendesak kerajaan Selangor mendedahkan apakah rancangan sebenar mereka bagi menangangani masalah air yang berlarutan sejak sekian lama.

“Masalah air ini bukan isu politik, ini isu kemanusiaan. Air ini merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

“Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab untuk menceritakan kepada rakyat apakah perancangan mereka. Jangan berdolak dalik,” tegas Azwan.

Menurut beliau lagi, kerajaan persekutuan telah menawarkan pelbagai pakej bantuan, tapi ianya dipolitikkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Azwan turut meminta Tan Sri Khalid mencontohi Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengurus krisis kehilangan MH370 dengan disiplin, komitmen serta sikap bertanggungjawab.

“Dalam krisis air di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan ini, saya tidak nampak langsung menteri besar Selangor mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

“Bahkan bila kali terakhir menteri besar Selangor bercakap pasal program penyelesaian catuan air,” tambahnya lagi.

Azwan meminta rakyat Selangor melaksanakan satu referendum sebagai bantahan terhadap kegagalan kerajaan negeri itu menyelesaikan krisis air.

YPS rasa deme tengah sibuk dengan pemilihan PKR. Lagipun khabarnya, rumah MB dan sebahagian kawasan elit didiami golongan tertentu tiada terlibat dengan masalah catuan air ni.

Selasa, 29 April 2014

9 Individu Disyaki Pengganas Ditahan Polis - KPN


Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman menahan sembilan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan di dalam dan luar negara. 
    
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka ditahan di Kedah dan Selangor, hari ini.
    
Khalid berkata kesemua yang ditahan dalam operasi serentak di beberapa lokasi di dua negeri berkenaan berumur antara 22 dan 55 tahun.
    
"Kesemua individu terbabit disyaki terlibat dalam kumpulan militan yang bertanggungjawab merancang perbuatan ganas di dalam dan luar negara.
    
"Mereka juga disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang beroperasi di luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
    
Beliau berkata sebahagian daripada individu yang ditangkap itu telah menjalani perjumpaan sulit bagi memantapkan ideologi militan.
    
Khalid berkata selain memantapkan ideologi militan, individu tersebut juga didapati mengumpul dana dan menjalani latihan ala ketenteraan sebagai persiapan untuk melakukan keganasan.
    
Beliau berkata mereka itu ditahan mengikut BAB VI A - Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan dan Akta Kanun Keseksaan (Akta 574).
    
"Mereka akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)," katanya. - Bernama

Semalam, penganalisis keganasan Dr. Obsatar Sinaga khuatir Malaysia kini menjadi antara senarai sasaran penganas susulan apa yang beliau fahami sebagai kecondongan Kuala Lumpur kepada kuasa barat. 

Pensyarah dari Universiti Padjadjaran itu namun berkata, kumpulan pengganas itu memandang rendah keupayaan pihak berkuasa sehingga tertangkapnya sembilan suspek penganas.

Ahad, 27 April 2014

#HUDUD: Kerjasama PAS & DAP Adalah HARAM - Ikatan Muslimin Malaysia

Kerjasama politik antara PAS dengan DAP disifatkan haram kerana DAP secara terang-terangan menolak pelaksanaan hukum Islam iaitu undang-undang jenayah syariah, hudud dan qisas yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan, kata Ikatan Muslimin Malaysia, (ISMA).

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata syarat tahaluf siyasi antara PAS dengan DAP itu juga dianggap terbatal dan tidak sah lagi.

“Haram sekiranya PAS terus bersama DAP, lebih-lebih lagi ketika ini DAP secara terang-terangan menolak pelaksanaan hukum Islam,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) di Universiti Multimedia Cyberjaya, hari ini.

Ini kerana DAP menampakkan kemudaratan terhadap perjuangan dan penegakan Islam, tambahnya.
"Syarat tahaluf dalam syariat Islam bermakna orang bukan Islam harus menerima agenda Islam yang diperjuangkan, itu yang sepatutnya.”

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan pada Jumaat menggesa PAS untuk keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya ia bertegas mahu melaksanakan hudud di negara ini.

Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan tindakan PAS tersebut melanggar muafakat Pakatan Rakyat kerana pelan pelaksanaan hudud dibuat tanpa kata sepakat Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

"Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut Abdullah Zaik, isu hudud bukan isu kecil yang dinilai daripada sudut mekanisme pelaksanaan semata-mata sebaliknya ia turut mencerminkan kedudukan agama Islam.

Katanya, jika hudud berjaya dilaksanakan, ia akan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi dan tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun.

“Kita mahu letakkan Islam di mercunya yang tinggi. Kedudukan yang tiada siapa boleh cabar. Keadaan ini jika berjaya telah mendaulatkan Islam berada di atas.

“Tetapi sekarang ramai orang bangkang, tidak mahu Islam di atas, dengan alasan yang berbagai-bagai seperti pemotong daging, mahkamah dan lain-lain. Mereka sebenarnya tidak mahu Islam berada di atas,” ujar beliau.

Polemik mengenai hudud kembali timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hudud.

Ekoran kenyataannya di Dewan Rakyat itu, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan rancangan mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan yang tertangguh sejak 1993 dilaksanakan di negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan meletakkan sasaran pelaksanaan hudud dan qisas di negeri itu seawal-awalnya pada tahun depan.

Rancangan kerajaan negeri Kelantan itu kemudiannya mendapat bantahan pemimpin kanan DAP yang mengingatkan PAS bahawa pendirian parti itu berhubung hudud tidak pernah berubah. Beberapa ahli parlimen DAP juga menegaskan semua wakil rakyat DAP tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Katanya, ada banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.


Sabtu, 26 April 2014

#HUDUD: #NKPUM @Azwanbro Cadang UMNO-PAS Adakan Perbincangan @NajibRazak @dsjamilkhir #pemudaUMNO


Azwan selaku Ketua UMNO Cawangan berucap pada Persidangan UMNO Cawangan Balun Bidai. Hadir sama, Saudara Nasurun Nasir selaku perasmi, serta beberapa orang pemerhati AJK UMNO Bahagian Pasir Salak (Tuan Haji Abd Manan & Saudara Badiozaman)
UMNO Cawangan Balun Bidai telah selesai mengadakan persidangan tahunan UMNO Cawangan bagi tahun 2014.

Persidangan bermula jam 10.00 pagi dan dihadiri lebih 100 orang ahli yang berdaftar dan layak hadir.

UMNO Cawangan Balun Bidai merupakan cawangan yang dipimpin oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairul Azwan Harun.

Berucap pada persidangan tersebut, Azwan menyentuh berkaitan isu Hudud atau Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang diputar belit oleh PAS.

“PAS meletakkan kegagalan mereka melaksanakan Hudud pada UMNO sedangkan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat dengan jelas menyatakan pendirian tidak menyokong Hudud.

“Semalam, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Fook Siew mengeluarkan kenyataan akhbar mendesak PAS berundur dari Pakatan Rakyat jika PAS masih berdegil mahu melaksanakan Hudud,” kata Azwan merujuk kepada artikel Astro Awani.

"Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat," tegas Anthony.

Azwan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia menjelaskan bahawa tiada seorang pun pimpinan tertinggi UMNO menolak perlaksanaan Rang Undang-Undang Hudud sejak dari dahulu lagi.

Malah, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah SWT, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu.

Merujuk beberapa pandangan para ulama', perlaksanaan Hudud memerlukan kajian menyeluruh agar perundangan yang termaktub di dalam Kitab suci Al Quran itu dapat dilaksanakan dengan baik sesuai dengan kehendak Allah.
Azwan turut mencadangkan agar para agamawan, ilmuwan serta pakar perundangan Islam UMNO dan PAS mengadakan muzakarah berkaitan perlaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Hudud.

"Sebagai orang Islam, kita semua menyokong hudud. Para agamawan, ilmuwan serta pakar undang-undang Islam UMNO serta PAS perlu duduk semeja dan bermuzakarah.

“Golongan mereka yang berwibawa dalam bidang tersebut amat diperlukan supaya tidak menimbulkan kekeliruan kerana pelaksanaan hudud itu nanti akan melibatkan banyak pihak,” ujarnya pada ucapan penggulungan persidangan tersebut.

Persidangan UMNO Cawangan Balun Bidai 2014 telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Saudara Nasurun Nasir mewakili UMNO Bahagian Pasir Salak.

#HUDUD: Muafakat Bersama #PR# Menjerat Diri, #DAP Gesa #PAS Keluar Pakatan


DAP meminta PAS menghormati muafakat yang telah dipersetujui secara bersama dalam Pakatan Rakyat atau berundur daripada pakatan itu sekiranya ia bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan pimpinan PAS itu yang dibuat tanpa kata sepakat Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat jelas telah mencabuli muafakat tersebut.

"Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan dasar bersama muafakat itu tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan PAS akan tetap dengan perancangannya mahu melaksanakan hudud di Kelantan kerana ia tidak berjanji dengan DAP dan PKR untuk tidak melaksanakan cita-cita perjuangan parti Islam itu.

Jelas Anthony, DAP sedar bahawa pelaksanaan hudud adalah satu daripada matlamat perjuangan politik PAS tetapi prinsip muafakat yang dipersetujui sejak selepas pilihan raya umum 2008 ialah perjuangan parti harus mendapat konsensus anggota Pakatan Rakyat.

Beliau merujuk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai oleh pimpinan tertinggi DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya baru-baru ini berkata Pakatan Rakyat perlu memahami terlebih dahulu hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan sebelum ia menyokong hasrat kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

Polemik mengenai hudud kembali timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hudud.

Ekoran kenyataannya di Dewan Rakyat itu, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan rancangan mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan yang tertangguh sejak 1993 dilaksanakan di negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan meletakkan sasaran pelaksanaan hudud dan qisas di negeri itu seawal-awalnya pada tahun depan.

Rancangan kerajaan negeri Kelantan itu kemudiannya mendapat bantahan pemimpin kanan DAP yang mengingatkan PAS bahawa pendirian parti itu berhubung hudud tidak pernah berubah. Beberapa ahli parlimen DAP juga menegaskan semua wakil rakyat DAP tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian berkenaan. Hasrat PAS itu juga mendapat bantahan daripada MCA.

Selain Kelantan, Dewan Undangan Negeri Terengganu juga meluluskan enakmen yang sama pada 2002 ketika kerajaan negeri itu ditadbir oleh pimpinan PAS. Bagaimanapun enakmen berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah terletak dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Dalam kenyataannya, Anthony sekali lagi mengulangi pendirian DAP bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersetuju hudud dilaksanakan di negara ini kerana "ia tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia".

Antara lain, beliau berpendapat pelaksanaan hudud akan mewujudkan dua set undang-undang jenayah yang akan dipakai ke atas orang Islam dan bukan Islam. Pandangan sama juga antara lain dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Anthony mengingatkan pendirian DAP menolak hudud bukan bermakna ia menentang agama Islam atau bersikap anti Islam.

"DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun fobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA," katanya.

Beliau merujuk kepada tindakannya mempertahankan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Parlimen apabila ada pemimpin MCA memfitnah Mursyidul Am PAS itu kononnya beliau mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol.

Tambah Anthony, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan fobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Katanya, beliau melakukan itu semua untuk mereliasasikan perubahan politik di bawah Pakatan Rakyat yang menekankan prinsip-prinsip keadilan untuk semua, pentadbiran yang baik tanpa rasuah dan meninggalkan politik perkauman.

Jumaat, 25 April 2014

PM Rasmi Pelancaran Portal #ForTheRakyat Di PWTC @NajibRazak @Khairykj @azwanbro #PEMUDAUMNO #BiroAduanKomuniti

PM melayari portal ForTheRakyat menggunakan tablet sambil disaksikan oleh Khairy, Azwan serta Sheikh Nafiq.
Sebentar tadi telah berlangsung Majlis Perasmian Pelancaran Portal #ForTheRakyat, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Sri Najib Tun Razak dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia YB Khairy Jamaluddin di Lobi Menara Dato Onn.

Portal ini diilhamkan penubuhannya oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia sendiri dan telah mula beroperasi sejak awal Mac 2014 yang lalu.

Memetik kata-kata Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun dalam sidang media pelancaran portal ini pada 25 Februari 2014 lalu, beliau berkata, antara peranan portal ini adalah sebagai pusat pengumpulan aduan dan permasalahan rakyat dari segenap pelusuk negara.

"Ia akan memudahkan pihak kerajaan melalui agensi-agensinya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan atau mana-mana pihak yang prihatin untuk memberi perhatian dan membantu menangani permasalahan rakyat," katanya.

Portal ini diurus selia oleh Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai Sheikh Nafiq Alfirdaous dalam memudahcara rakyat mengutarakan sebarang aduan.


Sejak mula beroperasi pada awal Mac lalu, portal tersebut telah menerima sebanyak 89 aduan dan 79 daripadanya telah berjaya ditangani atau diselesaikan.

Kemudahan portal ini disediakan bukan hanya untuk golongan muda dan terhad kepada ahli UMNO/Barisan Nasional tetapi ianya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat boleh melayari portal #ForTheRakyat di alamat Http://www.fortherakyat.com dan mendaftar sebelum mengemukakan sebarang aduan.

Perdana Menteri sebelum itu telah meluangkan masa menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat di Masjid Jamek Kampung Baru.

Khamis, 24 April 2014

Pengeluaran Kilang Perak Agro Mills Meningkat - DS @ZambryAbdKadir @ZainolFadzi @Azwanbro #PPPNP

Hasil perubahan dalam struktur operasi dan pengurusan sumber manusia, kilang memproses buah kelapa sawit milik penuh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Perak Agro Mills Sdn Bhd berjaya meningkatkan kadar pengeluaran daripada 30 tan metrik per jam kepada 60 tan metrik per jam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kilang tersebut di Kampung Gajah pagi tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sebelum ini kadar pengeluaran kilang itu berada di bawah kapasiti sebenar.

“Tetapi selepas beberapa perubahan dilakukan oleh PPPNP, kapasiti pengeluaran kilang ini meningkat daripada 30 tan metrik per jam kepada 60 tan metrik per jam.

“Penggunaan peralatan canggih dikenali sebagai ’tilting sterilizer’ membolehkan kadar pengeluaran kilang ini meningkat sekali ganda,” katanya lagi.

Kilang yang terletak di Mukim Pulau Tiga itu dijangka memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM10 juta setahun berbanding hanya RM4 juta sebelum ini.


YB Dato' Zainol Fadzi Paharuddin turut hadir ke majlis perasmian kilang Perak Agro Mills di Pulau Tiga. Gambar oleh Azarin Jamain.
Kilang yang dahulunya dikenali sebagai Dinding Oil Palm Industries itu mendapat sumber bekalan buah tandan segar sawit (BTS) daripada ladang-ladang PPPNP, ladang mini berhampiran dan juga peniaga BTS sekitar daerah Perak Tengah.

Selain itu, PPPNP katanya, melabur sebanyak RM24 juta untuk membeli peralatan yang diperlukan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang tersebut yang beroperasi sejak 2001 lagi.

“Perak merupakan negeri keempat di Malaysia yang menggunakan ’tilting sterilizer’ untuk memproses buah kelapa sawit selain Sime Darby.

“Kilang memproses kelapa sawit di Beruas juga akan menggunakan peralatan canggih ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada,” kata Zambry lagi.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bayaran bonus antara tiga hingga empat bulan kepada setiap pekerja Perak Agro Mills Sdn Bhd bagi tahun kewangan berakhir 2013.

“Peningkatan kapasiti kilang daripada 30 tan metrik per jam kepada 60 tan metrik merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi PPPNP, sekaligus berjaya meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Zambry berkata, terdapat dua faktor yang menentukan kejayaan dalam sesebuah pengurusan kilang iaitu manusia dan alatan yang digunapakai.

Beliau turut menekankan aspek amanah dalam setiap kerja yang dilaksanakan bermula dari peringkat pekerja kilang hingga pihak pengurusan tertinggi. PT

Perlaksanaan HUDUD Boleh Sebabkan #PakatanRakyat Tewas #PRU14 - @LimKitSiang #DAPgantiPAS


Pakatan Rakyat akan mengalami kekalahan lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang jika PAS berkeras mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata berdasarkan sejarah pilihan raya yang lalu, hudud tidak pernah memenangi hati pengundi.

“PAS dan PKR menang lapan kerusi Parlimen dan 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) akibat penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi.

“Enakmen diluluskan pada 2001, PAS dan PKR hanya memenangi 1 daripada 8 kerusi Parlimen dan 4 daripada 28 kerusi DUN pada PRU11 2004," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata kejayaan PAS dan PKR memenangi empat dari lapan kerusi Parlimen dan 15 dari 32 kerusi DUN adalah disebabkan tiada kempen melaksanakan hudud di negeri itu.

Beliau juga menegaskan biarpun PAS tidak memasukkan hudud dalam 5 Janji Awal Manifesto PAS Terengganu” dan “5 Manifesto PRU13” namun ia bukan penyebab kekalahan Pakatan rakyat di Terengganu.

"Apa yang menarik adalah walaupun PAS Terengganu memasukkan pelaksanaan hudud semasa manifesto Barisan Alternatif sebelum 2008, ia tidak menjadikan PAS dan PKR menang lebih banyak kerusi di peringkat DUN.

"Bukankah ini satu petunjuk pengundi di Terengganu meletakkan kepentingan kepada isu lain berbanding pelaksanaan hudud?" katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata sekiranya PAS berkeras mahu melaksanakan hudud sebelum PRU13 lalu sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat akan berkurangan.

Katanya, jika sokongan orang Melayu dapat ditingkatkan maka ia sudah tentu digunakan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah tetapi banyak perkara perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa DAP, Gobind Singh Deo sekali lagi menegaskan bahawa DAP dan PKR berhak untuk menentang rancangan PAS untuk memperkenalkan hudud di Kelantan biarpun PAS adalah rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, DAP dan PKR membentuk pakatan bersama PAS dalam pilihan raya lepas kerana PAS menerima agenda bersama yang tidak termasuk hudud.

"Rakyat memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana agenda yang diperjuangkan bersama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan PAS bahawa undi yang diperolehi atas dasar agenda bersama Pakatan Rakyat.

"DAP tidak akan gentar dengan ancaman. Kami akan terus melakukan apa yang betul dan bercakap menentang hudud kerana ia jelas tidak mengikut perlembagaan dan agenda Pakatan Rakyat.

"Jika PAS berkeras untuk membentangkan rang undang-undang ini untuk melaksanakan hudud di Kelantan, maka mereka boleh mengharapkan tentangan terbuka dari kami dalam DAP. Ia akan terus menjadi pendirian rasmi kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa, 22 April 2014

IPOH: Salah Satu Dari 9 Bandar Terbaik Dunia - Kathleen Peddicord @ZambryAbdKadir @Azwanbro


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penjagaan kelestarian Bandaraya Ipoh amat penting dalam meletakkannya sebagai salah satu daripada 9 bandar terbaik serta berkemampuan dunia untuk didiami golongan pesara.

Katanya, selain itu dasar yang kerajaan negeri laksanakan terutama dari aspek alam sekitar dalam membangunkan keadaan perbandaran turut meletakkan Ipoh sebagai salah satu destinasi menarik di dunia.

''Ipoh dianggap antara 9 bandar terbaik di seluruh dunia untuk golongan pesara warga emas barangkali disebabkan oleh bagaimana dasar yang kita laksanakan dan juga segi alam sekitar Ipoh '' katanya.

Beliau diminta mengulas penilaian yang dibuat oleh seorang penulis blogger terkenal Amerika Syarikat, Kathleen Peddicord yang meletakkan Ipoh sebagai satu daripada 9 bandar terkenal di dunia yang paling sesuai untuk pesaraan warga emas.

Menurut Dr Zambry, beliau mengharapkan pengekalan kepada kriteria yang diberikan oleh penulis berkenaan akan dapat kerajaan pertahankan meskipun dari segi pertumbuhan tidak dapat dielakkan kerana pertumbuhan perlu diteruskan.

Dari segi penjagaan kelestarian bandaraya adalah sangat penting kerana beliau percaya kriteria Ipoh sebagai salah satu bandar terbaik di dunia itu tidak dibuat hanya pada satu penilaian tetapi menyeluruh termasuk tentang gaya dan kualiti hidup, kehijauannya dan lain-lain lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat secara serius perkara ini bersandarkan kepada maklum balas kunjungan kumpulan-kumpulan luar termasuk pelancong yang datang ke Ipoh untuk membuat penilaian mereka sendiri tentang Ipoh.

Beliau yakin menerusi penilaian ini juga kerajaan negeri akan dapat mengambil langkah perlu untuk menjadikan Ipoh sebagai destinasi menarik dikunjungi.

Kathleen dalam penulisannya meletakkan Ipoh sebagai tempat paling sesuai bagi golongan pesara warga emas kerana mempunyai perkhidmatan kesihatan pertama di dunia , udara yang segar dan infrastruktur moden selain kedudukan bandarnya yang tidak terlalu padat.

Ipoh kini menjadi bandar terkenal dan pilihan sebagai bandar untuk golongan pesara dikalangan rakyat Malaysia kerana memiliki udara yang bersih, air yang jernih dan gaya hidup yang sihat.

Menurut Kathleen, bajet bulanan USD$897 (RM2,906) hanya diperlukan untuk menetap lebih selesa di Ipoh.

Selain Ipoh, beliau turut menyenaraikan bandar Nha Trang, Vietnam, Chiang Rai, Thailand, Dumaguete, Philippines, The Americas Cayo, Belize, Loja, Ecuador, Granada, Nicaragua, Tralee, Ireland, Carcassonne, France sebagai destinasi menarik untuk dilawati.

#SPAD Gantung 27 Permit Bas Transnasional Melibatkan Laluan Timur—Sektor Utara


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menggantung 27 permit bas ekspres Transnasional.

Penggantungan yang berkuatkuasa 23 April 2014 itu melibatkan laluan timur-sektor utara.


Keputusan tersebut dibuat berdasarkan hasil pengauditan yang mendapati pihak syarikat tidak memantau had kelajuan dan Global Positioning System (GPS) tidak berfungsi.

Ia susulan kemalangan melibatkan bas syarikat tersebut yang mengakibatkan 3 orang maut.

Ketua pegawai eksekutifnya, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas keatas syarikat-syarikat lain sekiranya terdapat pelanggaran syarat pelesenan.

Segala aspek pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan bas perlu diberi penekanan serius oleh syarikat bas ekspres.

Tambah Nur Ismal, setiap bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi dengan GPS sejak tahun 2010 dan perkara ini termaktub dalam syarat perlesenan.

Katanya setiap pengendali juga harus memastikan GPS berfungsi dan dipantau sepenuhnya selain memastikan penyelengaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala.

Baru-baru ini, SPAD menerusi sebuah kenyataan memaklumkan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas kemalangan tersebut yang berlaku pada 12 April.

Menurut SPAD, antara aspek yang akan diteliti ialah pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan syarikat bas berkenaan.

"SPAD tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas terhadap pengendali (bas yang terbabit) sekiranya mereka melanggar syarat yang termaktub termasuk dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," kata badan itu.

Tiga penumpang termasuk sepasang suami isteri maut apabila bas yang dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub berdekatan kawasan Bilut awal pagi 12 April lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, bas dua tingkat milik Transnasional yang dinaiki 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Nor Mansor berkata siasatan awal kemalangan tersebut mendapati bahawa bas dipercayai telah hilang kawalan di satu selekoh di kawasan berkenaan sebelum melanggar beberapa tiang elektrik di sebelah kanan jalan sebelum terbalik ke kiri jalan.

“Sebelum bas tersebut hilang kawalan, pemandu bas dipercayai telah memotong beberapa kenderaan dan tempat kejadian merupakan kawasan menuruni bukit. Semasa kejadian pula keadaan persekitaran gelap dan permukaan jalan adalah kering,” katanya lagi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali,
  1. Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, warga Somalia dan,
  2. Isterinya Zarifah Alias, 26, serta
  3. seorang lelaki, Suhaisam Che Abdulla, 33.
Saeed Mohamad adalah seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur manakala isterinya Zarifah pula berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan Suhaisam pula berasal dari Batang Kali, Selangor.

Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

10 mangsa yang cedera pula adalah;
  1. Wan Khairul Affendi Mustafa, 35, pemandu bas yang patah kaki kanan,
  2. Ruwaidi Jusuh, 35,
  3. Nur Sazren Fazhera Mohd Shanif, 20,
  4. Norzamera Abd Manaf, 24,
  5. Low Wan Yi, 23,
  6. Siti Nabila Mohd Nasir, 23,
  7. Tuan Rosnani Tuan Mohd Din, 22,
  8. Wan Muhamad Husin Abdullah, 54,
  9. Faizah Abdullah, 89 dan,
  10. seorang warga Thailand yang dikenali sebagai Mamalutfee.

Isnin, 21 April 2014

Tian Chua Tetap Hasut Rakyat Jatuhkan @NajibRazak, Jika @AnwarIbrahim Dipenjara @PDRMsia #kembalikanISA


Nampak gayanya, Ahli Parlimen Batu tidak merasa takut atau risau diambil tindakan oleh pihak berkuasa apabila beliau masih lagi mengajak rakyat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan nanti.

Biarpun sedang disiasat polis berhubung kes menghasut rakyat untuk turun ke jalanan bagi menjatuhkan Perdana Menteri menerusi akaun Twitternya sebelum ini, namun Tian Chua seolah-olah terus mencabar kewibawaan undang-undang negara.

"Ini janji saya. Kalau Najib berani penjarakan Anwar, kita akan bangkit jatuhkan Najib.

"Kita pernah menunjukkan rekod sebelum ini. Saya sendiri pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting selama dua tahun, pernah kena gas pemedih mata tetapi semua ini tidak memberi kesan," katanya dalam ceramah di Pantai Dalam malam tadi.

Sebelum ini, beberapa pihak telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Tian Chua dalam akaun Twitternya (@tianchua) pada 7 Mac lalu mendakwa hukuman terhadap Anwar telah dijatuhkan sendiri oleh Najib.

Naib Presiden PKR itu juga dilihat cuba menimbulkan kebencian penyokong Pakatan Rakyat terhadap Najib dengan mendakwa kononnya Perdana Menteri sedang mengisytiharkan perang terhadap pakatan pembangkang.

Dengan nada angkuh, Tian Chua mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga meletakkan jawatan atas desakan dan tindakan bantahan rakyat melalui reformasi.

"Kita kena tunjukkan kuasa rakyat seperti yang pernah ditunjukkan sebelum ini kepada Najib pula. Jangan ingat dia akan terus berkuasa. Kita akan bangkit menunjukkan kuasa kita kepada mereka nanti," katanya.

Bagi YPS, keberanian pemimpin Pakatan Rakyat ini makin menjadi- jadi sejak Internal Security Act (ISA) dihapuskan. Menghapuskan ISA merupakan satu kesilapan besar kerajaan.

Bila rakyat mendesak agar kerajaan mengembalikan satu-satunya akta yang mampu menyekat kegiatan atau hasutan pemimpin yang sengaja ingin menimbulkan keadaan huru hara, ada suara-suara dari pihak kerajaan sendiri mengatakan ianya tidak perlu.

VIDEO Pesawat #MH192 Selamat Melakukan Pendaratan Cemas



ALHAMDULILLAH, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Bangalore, India disahkan SELAMAT MENDARAT di KLIA pukul 01.56 pagi tadi, menurut laman twitter MAS. 

Roda kanan pesawat Boeing B737–800 tersebut dikesan mengalami kerosakan ketika berlepas pada pukul 10.09 malam tadi.

Dalam satu kenyataan pada pukul 1.35 tadi, MAS mengesahkan pesawat itu terpaksa melakukan pusingan balik ke KLIA dan dijangka akan melakukan pendaratan cemas sekitar pukul 2 pagi ini.

Pesawat tersebut terpaksa berlegar di ruang udara Selat Melaka selama hampir 4 jam, dipercayai bagi membakar bahan api dengan tujuan mengurangkan risiko berlaku letupan ketika melakukan pendaratan cemas.

Pesawat itu membawa 166 penumpang termasuk tujuh kru.

Datuk Seri Hishammuddin mendengar taklimat yang disampaikan sendiri oleh Ahmad Jauhari. 
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bergegas ke KLIA sejurus mendapat tahu kejadian tersebut. 


Hishammuddin berbual dengan juruterbang MH192 yang berjaya melakukan pendaratan cemas pagi ini.
YPS mengucapkan TAHNIAH kepada juruterbang serta pembantu juruterbang MH192 yang berjaya mendaratkan pesawat tersebut seterusnya menyelamatkan nyawa para penumpang serta kru penerbangan tersebut.


Syukur ke hadrat ALLAH SWT.

Ahad, 20 April 2014

Demi Menjadi PM, @AnwarIbrahim Hasut Rakyat Sertai Himpunan 'Kenduri 1 Mei'

Selepas gagal menewaskan Barisan Nasional pada PRU ke 13 pada Mei tahun lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sekali lagi merancang untuk menguasai Putrajaya dengan menganjurkan perhimpunan dinamakan 'Kenduri 1 Mei' yang akan diadakan di Putrajaya.

Berucap dalam perhimpunan Reformasi 2.0 di Ipoh, malam semalam, Anwar terus mengkritik pentadbiran kerajaan secara terbuka hingga sanggup menggadaikan masa depan rakyat dan negara ini.

Anwar lantang menghasut rakyat untuk berhimpun beramai-ramai di Putrajaya pada 1 Mei nanti bagi menyuarakan segala permasalahan yang dihadapi mereka.

Himpunan ‘Kenduri 1 Mei’ itu, katanya akan menjadi simbolik kepada gelombang Reformai kedua yang menjadikan jalanan sebagai tempat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati pihak pembangkang kepada kerajaan.

“Pada 1 Mei ini, kita mesti bangkit dan mengambil sikap berani… jangan tunggu pilihan raya akan datang dan kita perlu beri amaran yang jelas,” jelasnya.

Anwar turut membidas kewibawaan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam mengendalikan kehilangan pesawat MH370.

“Soal keselamatan tidak boleh diberi jaminan oleh Menteri Pertahanan dan beliau seharusnya meletak jawatan!,” tegasnya.

Jelasnya, melalui peralatan seperti Macroni Radar dan sistem keselamatan negara yang canggih, ia sepatutnya mampu menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Kalau ikut SOP, kalau kita dapat kesan melalui peralatan yang canggih itu, isyarat lampu merah akan berkelip-kelip dan dalam tempoh tiga minit dimaklumkan ke ruang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berdekatan, kapal tentera akan berlepas untuk iring keluar pesawat keluar dari ruang udara tetapi ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau turut menyuarakan dengan lantang mengenai kelemahan kepimpinan BN yang dilihatnya tidak berkemampuan serta menyorokkan maklumat daripada pengetahuan umum berkaitan kehilangan pesawat MH370.

Apapun, perhimpunan Reformasi 2.0 di Ipoh dilihat kurang mendapat sambutan apabila hanya dihadiri lebih kurang 500 orang penyokong yang mewakili sayap PAS dan DAP. 

Masih terngiang-ngiang janji Anwar Ibrahim untuk berhenti berpolitik dan menjadi pensyarah seandainya Pakatan Rakyat gagal menewaskan Barisan Nasional pada PRU13 yang lalu.

Tapi YPS sedia maklum bahawa Anwar tidak akan berhenti. Beliau berkata demikian dengan harapan rakyat akan bersimpati dan mengundi Pakatan Rakyat.


Perak Capai Pertumbuhan Tertinggi Di Malaysia: DS @ZambryAbdKadir

Kerajaan negeri akan memastikan bahawa amanah yang dberikan akan dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip perlembagaan, ketelusan, keadilan dan mengutamakan kepentingan rakyat, demikian menurut Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Tanggungjawab terhadap golongan keterbawahan yang dilanda masalah kemiskinan, kesulitan dan bencana turut diberi keutamaan.

“Pelbagai program pengupayaan golongan miskin tegar melalui Yayasan Bina Upaya (YBUDR) dan juga program-program tanggungjawab sosial (CSR) membabitkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga bakal dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena istiadat ulangtahun Keputeraan Sultan Azlan Shah yang Ke-86 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

“Pada tahun 2014 sahaja, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM63.99 juta iaitu pertambahan sebanyak 60 peratus.


Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), kadar pertumbuhan pendapatan isirumah purata di Negeri Perak katanya, telah meningkat daripada RM2,809 pada tahun 2009 kepada RM3,548 pada tahun 2012 iaitu mengalami pertambahan sebanyak RM739.

“Pertambahan ini merupakan 26.3 peratus dalam tempoh tiga tahun atau purata 8.7 peratus setahun dan ianya boleh diterjemahkan sebagai satu manifestasi peningkatan taraf hidup rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Perak merupakan antara negeri yang mencapai pertumbuhan tertinggi selain Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka iaitu pada kadar 7.1 peratus.

“Negeri Perak terus berupaya menarik minat pelabur dan pada tahun 2013, nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM2.4 billion,” jelasnya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa projek baru yang bakal dibangunkan membabitkan penyertaan pihak swasta antaranya Animation Theme Park di Meru Raya, Kinta Lake District dan Perak Educity yang mengetengahkan bandar ilmu di Seri Iskandar.

Beliau turut menasihati rakyat supaya menghargai setiap  nikmat yang sama-sama dikecapi sekarang ini kerana ianya tidak mudah untuk diperolehi.

“Ia adalah hasil perjuangan orang terdahulu yang telah meletakkan pembelaan nasib rakyat dan negara di atas landasan yang betul serta kukuh,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, tonggak dan mercu kepada perjuangan itu adalah berpandukan sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini iaitu sebuah sistem manifestasi hubungan simbiotik yang erat di antara raja dan rakyat.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..