Khamis, 20 Februari 2014

JAIK Arah Pusat Tahfiz Amal Ditutup Serta Merta



Alor Setar: Pusat Tahfiz Amal di Jalan Kuala Kedah-Yan, dekat sini, yang dikaitkan dengan ajaran Al-Mansur yang difatwakan sebagai sesat sudah diberikan notis arahan tutup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada 10 Februari lalu.

Notis berkuatkuasa serta-merta itu dikeluarkan JAIK susulan kepada notis terdahulu bertarikh 1 Januari 2007, selepas JAIK mendapati pusat tahfiz amal berkenaan masih menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa pendaftaran. 

Ia dikeluarkan mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988, dengan ditandatangani Pengarah JAIK, Datuk Noh Dahya. 

Timbalan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama JAIK, Mohd Fadil Ab Rahman, ketika dihubungi mengesahkan pengeluaran notis terbabit dan pihaknya akan melakukan pemantauan susulan bagi memastikan pengurusan sekolah mematuhi arahan notis tutup yang diterima minggu lalu.

“Buat masa ini kita sudah adakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan termasuk dengan pihak polis untuk memastikan kaedah yang sesuai bagi mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

JAKIM sebelum ini mengesahkan Pusat Tahfiz Amal di Kilometer 17 Jalan Kuala Kedah-Yan yang memperalatkan pelajarnya mengutip derma bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat. 

Difahamkan, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 membincangkan mengenai ajaran Azhar Wahab dan memutuskan ia bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sekali gus menyeleweng daripada Islam.

Kebelakangan ini, beberapa laman web termasuk laman sosial Facebook mendedahkan beberapa keping gambar mengenai individu yang didakwa sebagai Pengetua Maahad Tahfiz Amal berkenaan, dalam keadaan bersuka-ria termasuk mendakwa operasi pusat berkenaan sebagai palsu. 

Sementara itu, Pengurusan Pusat Tahfiz Amal akan mengemukakan rayuan terhadap notis arahan tutup dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada 10 Februari lalu. 

Pengetuanya, Muslim Ab Karim, berkata pihaknya yakin PTA tidak melakukan sebarang kesalahan, namun percaya mungkin berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat sehingga menyebabkan masalah sekarang ini berlaku. 


Beliau berkata, rayuan itu akan dihantar dalam masa terdekat kepada JAIK dan pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan JAIK berhubung masa depan 105 pelajar yang tinggal di situ jika pusat berkenaan ditutup. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..