Rabu, 12 Februari 2014

KDN Kesan Penyelewengan Dalam Aplikasi Al-Quran

Masyarakat Islam di negara ini dinasihat berwaspada dalam memuat turun aplikasi berkaitan al-Quran melalui telefon pintar atau Internet kerana ada yang diseleweng dari segi kandungannya.

Setiausaha Bahagian di Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Hashimah Nik Jaafar berkata selain menerima aduan orang ramai, pihaknya sendiri mengesan kewujudan perkara itu yang dilihat sebagai cubaan menyesatkan umat Islam.

Penyelewengan yang dikesan meliputi penambahan ayat atau pengertian sehingga lari daripada yang asal, katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Program Wakaf al-Quran dengan kerjasama Yayasan Restu, di sini hari ini.

“Kita akan berbincang lebih lanjut dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan susulan,” katanya.

Menurut Hashimah, agak sukar bagi KDN memantau perkara itu memandangkan terdapat banyak perisian dan aplikasi al-Quran dalam Internet.

“Jika al-Quran yang dicetak pun boleh ada kesilapan cetakan, apatah lagi yang boleh dimuat turun atau berbentuk digital,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan memantau lebih serius perkembangan itu bagi mengelak masyarakat khususnya golongan muda daripada terpengaruh dengan penyelewengan tersebut.

Menurutnya, bermula bulan ini juga KDN menguatkuasakan penggunaan hologram bagi setiap al-Quran yang hendak dijual atau diedar kepada orang ramai.

Penggunaan hologram itu diharap dapat membantu masyarakat mendapatkan naskhah al-Quran yang sebenar dan bagi al-Quran yang sudah dicetak pula, orang ramai disaran membeli kitab suci yang mempunyai kelulusan KDN, katanya.

– BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..