Ahad, 9 Februari 2014

PM Rai Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan 2014 di Taiping @NajibRazak @ZambryAbdKadir #CNY2014

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia agar terus memelihara keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini kerana ia merupakan kunci kejayaan negara.

Beliau turut mengingatkan  rakyat agar tidak memandang ringan perpaduan yang dibina selama ini, sebaliknya terus menjaga dan mengekalkannya.

"Bila kita sudah dapat negara yang aman dan damai jangan memandang ringan dan mensia-siakannya, pertahankannya, jagakannya, peliharakannya kerana ini merupakan anak kunci kepada kejayaan negara," katanya semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2014 di Taiping, malam tadi.

Hadir sama Datin Seri DiRaja Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Majlis rumah terbuka itu dihadiri lebih 10,000 tetamu berbilang kaum dan mendapat liputan secara langsung serta disiarkan ke seluruh negara.

Najib seterusnya berkata keamanan dan keharmonian negara boleh diibaratkan seperti 'oksigen'.

"Apabila kita tidak dapat oksigen maka selama itulah kita benar-benar merasai tekanan sebab kita tidak ada oksigen.

"Tapi bila kita ada oksigen, kita mengambil mudah mengenainya, begitulah juga keamanan dan keharmonian negara.

"Kadang-kadang kita terlajak cakap, pada masa perayaan kita patut ucapkan yang baik kepada orang lain sebaliknya kita mempersendakan orang lain." Katanya.

Perdana Menteri berkata, ini bukan cara yang melambangkan nilai baik bagi negara ini, setiap kaum ada nilai yang baik dan harus diberi penekanan.

"Saya difahamkan misalnya bagi masyarakat kaum Cina, mereka menekankan konsep nilai baik, dalam Islam Wasatiyah, dalam bahasa Kebangsaan kesederhanaan," katanya.

Najib menjelaskan apabila konsep keharmonian ini juga mempunyai persamaan pengertian Taiping dalam bahasa Mandarin bermaksud damai dan aman.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia sangat bertuah kerana dapat hidup dalam suasana aman dan damai kerana di bawah pemerintahan kerajaan sedia ada ini, sentiasa membawa perubahan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya berkata, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2014 membuktikan kerajaan Persekutuan mengiktiraf perayaan itu yang menjadi satu daripada acara besar di peringkat kebangsaan setiap tahun.

Menurut beliau sambutan itu amat besar ertinya kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini.

"Di Malaysia kita menyambutnya pada setiap tahun dalam keadaan meriah dan penuh kemesraan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina tetapi juga oleh kaum lain, yang turut sama menyambutnya dengan cara kunjung-mengunjung pada majlis rumah terbuka," katanya ketika berucap pada sambutan itu.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sambutan berkenaan mampu menyemarakkan industri pelancongan khususnya di Perak, yang memiliki pelbagai daya tarikan.

"Para pelancong dari barat khususnya, sentiasa teruja melihat perayaan di negara ini di samping melawat tempat menarik serta membeli-belah.

"Walaupun mereka berada jauh dari tanah air mereka, keadaan sekeliling, suasana, bunyi-bunyian dan warna-warni semasa perayaan tentunya menarik perhatian mereka," katanya.

Kemuncak sambutan yang bermula petang tadi diwarnai pelbagai persembahan kebudayaan pada sebelah malam bagi mencerminkan kemajmukan serta kepelbagaian adat resam budaya, yang menyatupadukan perbezaan dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus menepati slogan 'Malaysia Truly Asia'.

Suasana penuh warna-warni dengan hiasan lilitan kain merah serta tanglung yang bergantungan sekitar lokasi Rumah Terbuka, dimeriahkan lagi dengan lagu Gong Xi Fa Chai, paluan gendang dan tarian singa oleh Johor World Champioship Lion Dance seiring ketibaan para pemimpin serta orang ramai.

Selesai berucap di pentas utama yang dihias seperti istana Maharaja Cina, Najib menekan butang khas dan serentak dengan itu, sebuah replika kuda keluar dari bahagian tengah, kiri serta kanan pentas utama meraikan kehadiran Tahun Kuda mengikut kalendar Lunar, tanda perasmian majlis yang penuh makna.

Persembahan pembukaan mengimbau kisah Hang Li Po (Cinta Kita), tarian singa dan seni mempertahankan diri Wushu turut diselit untuk tontonan hadirin.

Pengunjung turut dihiburkan dengan gesekan merdu alat muzik Cina iaitu Erhu, persembahan nyanyian Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan Kumpulan Chingay.

Objektif program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan negeri Perak bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu antara lain bagi menjalin hubungan mesra pemimpin-rakyat, mengetengahkan tradisi menyambut Tahun Baharu Cina dan menjadi wadah pelancongan selain memupuk perpaduan serta persefahaman masyarakat pelbagai kaum.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran peserta MegaFam dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Mexico, Itali, Jerman, Hong Kong, Australia, China, Bangladesh, Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Sambutan Rumah Terbuka malam ini juga dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, pameran dan demonstrasi pembuatan kraf seperti seni ikatan tali dan tanglung pada sebelah petang.

Pengunjung berpeluang menikmati juadah juga menyerlahkan kepelbagaian cita rasa masyarakat Malaysia seperti bihun goreng Cina, Yee Sang, mi udang, char kuetiau, murtabak ayam, sate ayam, nasi ayam dan menu untuk vegetarian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..