Sabtu, 14 Disember 2013

ZAHID HAMIDI: KDN PERHALUSI CADANGAN TUBUH 'POLIS SYARIAH'

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya sedang memperincikan cadangan penubuhan sebuah pasukan polis khas bertujuan untuk membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini.

Antara yang dimasukkan dalam cadangan tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.

Perbincangan lanjut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan diadakan.

"Kita juga akan mohon perkenan Majlis Raja-raja Melayu supaya tidak disalah anggap cuba campur tangan soal pengendalian isu-isu agama. Aspek yang saya tekankan adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya ketika menjadi tetamu sebuah rancangan bual bicara di Bernama TV kelmarin.

Dalam temubual itu juga Ahmad Zahid menjelaskan kelulusan Jemaah Menteri perlu diperolehi bagi membolehkan PDRM yang mempunyai Badan Agama dan Kaunseling (Baka) yang boleh bekerjasama dengan JAKIM untuk membendung penularan ajaran sesat.

Ketika ditanya mengenai pengamal ajaran Syiah yang diwarisi dari keturunan, mereka disarankan supaya melapurkan aktiviti keagamaan mereka kepada pihak JAKIM.

Golongan penganut ajaran Syiah secara keturunan diminta tidak menyebarkan fahaman itu kepada umat Islam yang lain.

"Ada pecahan dalam Syiah termasuk kumpulan Buhra... mereka lakukan amalan dalam kumpulan itu tanpa sebarkan kepada kumpulan lain.

"Saya tak kata ia (amalan Syiah) dibolehkan kerana itu bidang kuasa Jakim, tapi saya fikir elok jika kumpulan berkenaan dapat beritahu kepada Jakim bahawa mereka bergiat di sekitar ahli-ahli mereka dan tidak berhajat melakukan aktiviti penyebaran mengikut anutan mereka," katanya lagi.

Terdahulu, dalam program itu beliau berkata kementerian akan terus meningkatkan usaha membendung penularan ajaran Syiah dalam kalangan umat Islam untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman masyarakat Malaysia.

Tegas Ahmad Zahid, beliau khuatir perkara itu akan memecah-belahkan umat Islam di negara ini dan mendorong kepada perang saudara seperti yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah.

YPS pernah membaca berita tentang peranan Polis Syariah di Aceh, Indonesia. Skop tugas mereka bukan sekadar membanteras ajaran sesat. Malah melibatkan penguatkuasaan undang-undang syariah sepenuhnya.
Seorang anggota polis penguatkuasa Syariah Aceh sedang memberi nasihat kepada beberapa gadis Aceh semasa membuat pemeriksaan cara berpakaian bagi wanita Islam di sebatang jalan di Banda Aceh pada 1 Disember 2009.
Antara kisah yang YPS baca, bagaimana Polis Syariah di Aceh berdepan dengan pelbagai kes termasuk menahan dan menasihati wanita Islam yang memakai pakaian ketat serta tidak menutup aurat. 
Polis Syariah Aceh menggunting rambut remaja yang ditahan menggayakan rambut ala - punk.
Selain itu, tersebar juga kisah beberapa orang remaja ditahan dan dihukum kerana menggayakan rambut ala punk. Memang penubuhan unit Polis Syariah ini patut disokong memandangkan negara kita dikategorikan sebagai sebuah negara Islam di dalam perlembagaan negara.

Merujuk kepada pengamal ajaran Syiah keturunan pula, YPS rasa sedikit musykil apabila Datuk Zahid sekadar memberi amaran agar mereka tidak mengembangkan ajaran mereka. 

Melihat kepada definisi 'dilarang mengembangkan', bagi teman larangan tersebut termasuk 'dilarang menurunkan' ajaran tersebut kepada setiap zuriat mereka. Tak gitu?

Selain itu, Datuk Zahid juga turut menyarankan agar pengamal Syiah keturunan ini melapurkan aktiviti keagamaan mereka kepada pihak JAKIM. 

Perkara ini juga mengelirukan YPS kerana jika kita telah mengharamkan ajaran tersebut tetapi dalam masa yang sama, mereka masih dibenarkan meneruskan aktiviti yang jelas bercanggah dengan amalan Ahli Sunnah wal Jamaah yang diiktiraf oleh negara kita sebagai ajaran Islam yang sebenar.

Pada pendangan YPS, apabila tertubuhnya unit Polis Syariah nanti, mereka yang mengaku Islam tetapi mengamalkan ajaran Syiah perlu ditahan serta dibimbing untuk kembali kejalan Islam yang sebenar.

Apapun, keme tetap menyokong segala tindakan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri yang sentiasa tegas dan berani, demi menjaga kesucian agama Islam serta mengekalkan keamanan negara tercinta. Teruskan Yop!!!

والله أعلم




Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..