Jumaat, 6 Disember 2013

#PAU2013: MENTERI KDN RESPON USUL NAIB KETUA PEMUDA MALAYSIA @azwanbro

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa usul untuk memasukkan perkataan Sunnah wal Jamaah dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai memperincikan takrifan Islam sebagai agama persekutuan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usul itu akan dibawa kepada kerajaan untuk dibincangkan bagi menghalang fahaman lain termasuk Syiah daripada berkembang di negara ini.

"Ini adalah untuk memastikan agama rasmi negara adalah berasaskan Sunnah wal Jamaah dan bagi mengelakkan kefahaman lain dikembangkan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dua buah buku hasil tulisan Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib iaitu isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai cadangan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun untuk mentakrifkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperincikan hanya kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. (Usul ke 4) Rujuk di sini.
Cadangan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno yang sedang berlangsung di sini.
Ahmad Zahid berkata dengan memasukkan perkataan itu, tiada penganut agama Islam yang mempunyai fahaman lain dibenarkan mengembangkan fahaman mereka selain Sunnah wal Jamaah. - BERNAMA
 Pada 4hb Disember yang lalu, dalam ucapan beliau sempena Persidangan Pemuda UMNO Malaysia, Azwan membentangkan  5 usul untuk pertimbangan dan dilaksanakan demi kesinambungan dan kelangsungan parti. 

Berikut adalah petikan teks ucapan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang meminta kerajaan bertindak menangani ancaman kesucian Islam.

USUL KEEMPAT – Pemuda UMNO menuntut tindakan yang lebih tegas dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu-isu yang mengancam akidah umat dan kesucian Islam yang membudayakan cara hidup songsang yang bertentangan dengan nilai agama dan moral sejagat. 

Gerakan pluralisme agama, liberalisme, ekstremisme, ajaran sesat, kumpulan – kumpulan tertentu, kini jelas menjadi ancaman kepada kestabilan negara. Kita tidak boleh memandang ringan ancaman gerakan ini kerana sasaran mereka adalah daripada kalangan golongan muda. 
Penghinaan kepada institusi – institusi negara seperti kehakiman, mahkamah syariah, institusi raja kini ibarat cacing naik ke mata. Terbaru, kebebasan tanpa batas cuba dipopularkan dengan harapan sokongan generasi muda akan datang kepada mereka. 
Untuk itu, gandingan usaha kerajaan dan gerakan massa mesti dilakukan dalam menangani penularan wabak pemikiran kebebasan tanpa sempadan sebegini.
Bagi membentengi umat dan generasi akan datang, Pemuda amat bersetuju dengan saranan Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden agar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, Pemuda mencadangkan definasi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai mereka yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..