Selasa, 13 Mei 2014

#GTP Berjaya Capai Sasaran 104% Pada 2013 - DS @NajibRazak @Azwanbro #ETP #Wawasan2020


Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada 2013 dengan keberhasilan ketara dalam pengupayaan ekonomi individu dan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata piawaian tinggi telah diletakkan kepada inisiatif GTP 2.0 yang telah mencabar pasukan pelaksanaan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) berbanding keberhasilan GTP 1.0.

"Pendek kata dengan meletakkan sasaran-sasaran yang di luar kelaziman maka barulah kita akan terus mencipta kejayaan dan mengekalkan momentum transformasi," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Laporan Tahunan GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013 di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di ibu negara, malam tadi.

Najib berkata fakta kejayaan itu boleh dilihat melalui pelbagai manfaat besar yang telah dinikmati rakyat, termasuk melalui pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.91 bilion, telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah.

Di bawah NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat juga hampir dua juta individu bujang berumur 21 tahun menerima manfaat apabila kerajaan memperluas skop pemberian BR1M kepada golongan itu yang melibatkan peruntukan RM500 juta, kata Najib.

Fasa kedua GTP 2.0 juga menyaksikan seramai 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta 5.2 juta orang pelajar sekolah menengah dan rendah dibantu melalui pemberian Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 dan RM100 setiap seorang.

"Bagi mengurangkan beban golongan individu dan para peniaga, kerajaan telah menambah sejumlah 40 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), menjadikan keseluruhan 125 buah yang diyakini boleh membantu kumpulan rakyat terbanyak," katanya.

Sementara kewujudan 254 Klinik 1Malaysia telah meningkatkan akses rawatan perubatan asas kepada masyarakat, dan dengan kos RM1 setiap pesakit, ia telah berjaya menangani lebih 10 juta kes kesihatan sejak dilancarkan pada 2010, kata perdana menteri.

Najib berkata kerajaan dalam fasa ini juga menitik berat soal perumahan dengan sebanyak RM2.1 bilion telah diperuntukkan tahun ini bagi membina 133,000 unit rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia), Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Perdana Menteri berkata menerusi NKRA Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, pelaksanaan program-program di bawah GTP telah memungkinkan kadar kemiskinan menyusut kepada 1.7 peratus pada 2012 berbanding lebih 60 peratus kira-kira enam dekad lepas.

"Manakala kemiskinan tegar kini hampir disifarkan kesemuanya," katanya yang turut berkongsi kisah kejayaan seorang pengusaha gerai makanan di Bandaraya Melaka, Chandrasekaran, yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan selepas menyertai Azam Tani, di bawah Program 1Azam.

Setakat ini lebih 168,000 individu telah berjaya meningkatkan tahap pendapatan mereka menerusi Program 1Azam, kata Najib.

Dalam usaha Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar dan memastikan rakyat di kawasan itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan, kerajaan di sebalik pelbagai kesulitan menyediakan prasarana itu di kawasan yang amat terpencil di beberapa kawasan di seluruh negara tetap membina jalan berturap sepanjang lebih 700 kilometer.

"Sepanjang 2010 hingga 2013 sahaja kita telah membina sepanjang 4,068 kilometer jalan luar bandar, jika dihitung jaraknya adalah lebih kurang lima kali perjalanan ulang-alik antara Johor Baharu dengan Perlis," katanya. Najib berkata dalam mentransformasi kampung-kampung sedia ada menjadi pusat ekonomi yang berkembang maju, fasa kedua GTP turut memperkenal Program Kampung Abad 21 (KA21).

Program itu mengandungi empat inisiatif yang bakal menyaksikan usaha bersepadu melalui kerjasama ladang buah-buahan dan sayur-sayuran yang dipacu oleh sektor swasta, katanya.

Beliau berkata dalam Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar, penambahbaikan sistem teras perkhidmatan KTM Komuter telah memperbaik prestasi menepati masa perkhidmatan itu pada tahap 94.6 peratus.

"Penambahbaikan itu menyaksikan selang masa perkhidmatan KTM Komuter untuk tren tiba setiap 15 minit pada waktu puncak (pagi), iaitu satu peningkatan yang besar berbanding dengan setiap 30 hingga 45 minit sebelum ini," katanya.

Pelaksanaan GTP 2.0 melalui NKRA Memastikan Pendidikan Berkualiti telah menyaksikan peningkatan enrolmen prasekolah kepada 82 peratus bagi kohort umur empat hingga enam tahun pada 2013 berbanding 67 peratus pada 2009.

Keberhasilan NKRA itu juga sebanyak 24 buah sekolah rendah dan menengah diberikan status Sekolah Berprestasi Tinggi, menjadikan keseluruhan sebanyak 115 buah sekolah di seluruh negara.

Najib berkata menerusi NKRA Mengurangkan Jenayah, pengupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditingkatkan menerusi pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang memberi kuasa lebih luas kepada polis bagi menangani jenayah terancang dan jenayah ganas.

Pada 2013 terdapat penurunan menyeluruh sebanyak 6.5 peratus dalam kejadian pecah rumah manakala Operasi Cantas Khas pula berjaya menurunkan kes jenayah keganasan sebanyak 30 peratus dalam tempoh 52 hari pertama operasi itu dilancarkan, pada Ogos tahun lepas, katanya.

Menerusi GTP 2.0, beliau berkata komitmen kerajaan dalam Membanteras Rasuah terus dipertingkat melalui pelbagai inisiatif termasuk pelancaran dashboard atau papan pemuka Jabatan Audit Negara bagi membolehkan laporan itu diakses secara dalam talian, selain membentangkannya pada setiap persidangan Parlimen, yang sebelum ini dilaporkan setahun sekali.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 17 kertas siasatan yang telah dibentangkan pada Oktober lepas.

"Mengimbas kembali keberhasilan-keberhasilan yang diraih, saya yakin bahawa kita kini berada pada trek (landasan) yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Malah kata Najib, beberapa petunjuk memberikan gambaran bahawa negara mampu mencapai cita-cita itu lebih awal daripada yang dijangka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..