Memaparkan catatan dengan label Perak Darul Ridzuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perak Darul Ridzuan. Papar semua catatan

Khamis, 2 Oktober 2014

Pembinaan Hospital Baharu Seri Iskandar Dijangka Bermula 2015 #UPEN @ZambryAbdKadir #PerakAmanJaya




Kerajaan negeri Perak telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU), untuk melaksanakan projek pembinaan hospital baharu di Seri Iskandar mulai tahun 2015.

Perkara tersebut diumumkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Dr Zambry berkata, selain hospital baharu itu, pihak EPU juga telah memaklumkan kepada kerajaan negeri Perak berhubung pembinaan sebuah Institut Kemahiran Tinggi di Larut dan sebuah klinik kesihatan di Manjoi.


Seri Iskandar juga dikenali sebagai Bandar Universiti.
Universiti Teknologi Petronas (UTP) & Universiti Teknologi MARA (UiTM)
"Pada dasarnya Kerajaan Persekutuan melalui EPU telahpun menyatakan persetujuan bagi memulakan pembinaan sebuah hospital baharu di kawasan Seri Iskandar.

"Jadi saya harap ianya akan dapat dilaksanakan pada kadar yang segera bermula pada tahun 2015 nanti," katanya.

Dr Zambry turut menjelaskan bahawa tiga projek besar itu yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat akan dilaksanakan dalam waktu yang terdekat, bukannya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Melihat kepada pembangunan infrastruktur yang begitu rancak di Seri Iskandar, pembinaan hospital baharu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti ini amat diharapkan oleh penduduk Perak Tengah.

Selama ini, penduduk yang tinggal di sekitar Perak Tengah mendapatkan rawatan di Hospital Changkat Melintang  yang terletak kira-kira 6 km dari Pekan Bota Kanan.

Hospital Changkat Melintang yang telah mula beroperasi pada tahun 1973 tidak memiliki kemudahan kesihatan yang lengkap bagi kes pesakit yang memerlukan rawatan khas.
Hospital Changkat Melintang.
Bagi merawat pesakit yang memerlukan rawatan yang tidak disediakan di Hospital Changkat Melintang, pesakit akan dirujuk ke Hospital Manjung ataupun Hospital Teluk Intan.

Hospital Changkat Melintang telah dibuka secara rasmi pada 23 Febuari 1973 oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Haji Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein.

Isnin, 29 September 2014

Perak Jalin Kerjasama Dengan Bosnia - @ZambryAbdKadir @NajibRazak @Azwanbro #MBBC

YAB Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerima Pingat Bandaraya Sarajevo dari Datuk Bandar Sarajevo, Dr Ivo Komsic.
Perak berhasrat menjalin kerjasama ekonomi lebih kukuh dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan dengan Bosnia dan Herzegovina, terutama Sarajevo, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir.
   
Zambry juga mengumumkan pembentukan bandar raya berkembar antara Ipoh dan Sarajevo.
   
"Rakyat Malaysia terutama Perak akan terus menyokong dan membantu rakyat Bosnia terutama dalam bidang pendidikan. 

"Kerajaan negeri menawarkan lima biasiswa kepada rakyat Bosnia untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS)," kata Zambry pada pelancaran Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia dan Herzegovina (MBBC) di Sarajevo, Jumaat lalu.


Khairul Azwan Harun dan Amer Bukbić adalah Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan Malaysia - Bosnia & Herzegovina (MBBC).

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Menteri Tenaga dan Industri Bosnia, Erdal Trhulj; Duta Malaysia di Bosnia, Anuar Kasman; Pengerusi Bersama MBBC Cawangan Malaysia, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Bersama MBBC Cawangan Bosnia, Amer Bukvić.

Semasa pelancaran, dua memorandum persefahaman (MoU) dimeterai oleh MBBC, Majlis Perniagaan Sarajevo, Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) membabitkan kerjasama dalam hubungan sosial dan kebudayaan.
   
Satu lagi MoU yang ditandatangani ialah antara Great Color Investment Ltd dan Energoinvest bagi meneroka potensi industri tenaga di Bosnia.
   
Zambry menggesa pihak-pihak yang menandatangani MoU itu supaya mempercepatkan proses merangka terma perjanjian yang disahkan dan melaksanakannya.
   

Beliau berkata, Perak sedang mengkaji kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat Bosnia dalam industri kayu, teknologi hijau dan industri berkaitan tenaga.
   
Semasa majlis pelancaran, Zambry menerima Pingat Bandaraya Saravejo yang disampaikan oleh Datuk Bandar Sarajevo, Dr Ivo Komsic atas komitmen beliau mengukuhkan hubungan antara Perak dan Sarajevo.   

Pingat itu ialah sebagai simbol penghargaan kerana membantu dalam pembangunan ekonomi, perdagangan dan keusahawanan dan menggalakkan iklim pelaburan di Sarajevo dan rantau ini.
   
Kemudian, Zambry membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Bosnia, Bakir Izetbegović.
   
Semasa lawatan, kedua-dua pemimpin membincangkan isu-isu berkaitan hubungan dua hala.
   
Bakir juga mempelawa DYMM Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk melawat Bosnia.

Ahad, 9 Februari 2014

PM Rai Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan 2014 di Taiping @NajibRazak @ZambryAbdKadir #CNY2014

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia agar terus memelihara keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini kerana ia merupakan kunci kejayaan negara.

Beliau turut mengingatkan  rakyat agar tidak memandang ringan perpaduan yang dibina selama ini, sebaliknya terus menjaga dan mengekalkannya.

"Bila kita sudah dapat negara yang aman dan damai jangan memandang ringan dan mensia-siakannya, pertahankannya, jagakannya, peliharakannya kerana ini merupakan anak kunci kepada kejayaan negara," katanya semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2014 di Taiping, malam tadi.

Hadir sama Datin Seri DiRaja Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Majlis rumah terbuka itu dihadiri lebih 10,000 tetamu berbilang kaum dan mendapat liputan secara langsung serta disiarkan ke seluruh negara.

Najib seterusnya berkata keamanan dan keharmonian negara boleh diibaratkan seperti 'oksigen'.

"Apabila kita tidak dapat oksigen maka selama itulah kita benar-benar merasai tekanan sebab kita tidak ada oksigen.

"Tapi bila kita ada oksigen, kita mengambil mudah mengenainya, begitulah juga keamanan dan keharmonian negara.

"Kadang-kadang kita terlajak cakap, pada masa perayaan kita patut ucapkan yang baik kepada orang lain sebaliknya kita mempersendakan orang lain." Katanya.

Perdana Menteri berkata, ini bukan cara yang melambangkan nilai baik bagi negara ini, setiap kaum ada nilai yang baik dan harus diberi penekanan.

"Saya difahamkan misalnya bagi masyarakat kaum Cina, mereka menekankan konsep nilai baik, dalam Islam Wasatiyah, dalam bahasa Kebangsaan kesederhanaan," katanya.

Najib menjelaskan apabila konsep keharmonian ini juga mempunyai persamaan pengertian Taiping dalam bahasa Mandarin bermaksud damai dan aman.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia sangat bertuah kerana dapat hidup dalam suasana aman dan damai kerana di bawah pemerintahan kerajaan sedia ada ini, sentiasa membawa perubahan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya berkata, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2014 membuktikan kerajaan Persekutuan mengiktiraf perayaan itu yang menjadi satu daripada acara besar di peringkat kebangsaan setiap tahun.

Menurut beliau sambutan itu amat besar ertinya kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini.

"Di Malaysia kita menyambutnya pada setiap tahun dalam keadaan meriah dan penuh kemesraan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina tetapi juga oleh kaum lain, yang turut sama menyambutnya dengan cara kunjung-mengunjung pada majlis rumah terbuka," katanya ketika berucap pada sambutan itu.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sambutan berkenaan mampu menyemarakkan industri pelancongan khususnya di Perak, yang memiliki pelbagai daya tarikan.

"Para pelancong dari barat khususnya, sentiasa teruja melihat perayaan di negara ini di samping melawat tempat menarik serta membeli-belah.

"Walaupun mereka berada jauh dari tanah air mereka, keadaan sekeliling, suasana, bunyi-bunyian dan warna-warni semasa perayaan tentunya menarik perhatian mereka," katanya.

Kemuncak sambutan yang bermula petang tadi diwarnai pelbagai persembahan kebudayaan pada sebelah malam bagi mencerminkan kemajmukan serta kepelbagaian adat resam budaya, yang menyatupadukan perbezaan dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus menepati slogan 'Malaysia Truly Asia'.

Suasana penuh warna-warni dengan hiasan lilitan kain merah serta tanglung yang bergantungan sekitar lokasi Rumah Terbuka, dimeriahkan lagi dengan lagu Gong Xi Fa Chai, paluan gendang dan tarian singa oleh Johor World Champioship Lion Dance seiring ketibaan para pemimpin serta orang ramai.

Selesai berucap di pentas utama yang dihias seperti istana Maharaja Cina, Najib menekan butang khas dan serentak dengan itu, sebuah replika kuda keluar dari bahagian tengah, kiri serta kanan pentas utama meraikan kehadiran Tahun Kuda mengikut kalendar Lunar, tanda perasmian majlis yang penuh makna.

Persembahan pembukaan mengimbau kisah Hang Li Po (Cinta Kita), tarian singa dan seni mempertahankan diri Wushu turut diselit untuk tontonan hadirin.

Pengunjung turut dihiburkan dengan gesekan merdu alat muzik Cina iaitu Erhu, persembahan nyanyian Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan Kumpulan Chingay.

Objektif program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan negeri Perak bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu antara lain bagi menjalin hubungan mesra pemimpin-rakyat, mengetengahkan tradisi menyambut Tahun Baharu Cina dan menjadi wadah pelancongan selain memupuk perpaduan serta persefahaman masyarakat pelbagai kaum.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran peserta MegaFam dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Mexico, Itali, Jerman, Hong Kong, Australia, China, Bangladesh, Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Sambutan Rumah Terbuka malam ini juga dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, pameran dan demonstrasi pembuatan kraf seperti seni ikatan tali dan tanglung pada sebelah petang.

Pengunjung berpeluang menikmati juadah juga menyerlahkan kepelbagaian cita rasa masyarakat Malaysia seperti bihun goreng Cina, Yee Sang, mi udang, char kuetiau, murtabak ayam, sate ayam, nasi ayam dan menu untuk vegetarian.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..