Datuk Seri Najib Abdul Razak sempena pelancaran Laporan Tahunan GTP dan ETP di sini malam tadi yang disiarkan secara langsung di TV3.
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang Dikasihi,
1. Pertama-tamanya marilah kita merafakkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kehendakNya jua, maka dapatlah kita berhimpun dalam satu majlis yang penuh bermakna ini.
2. Sesungguhnya, malam ini sampailah pula kepada siri ketiga pembentangan laporan Tahunan bagi Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.
3. Makanya, saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bagi pihak diri saya, selaku Ketua Kerajaan, juga bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk mempersembah lembaran-lembaran yang memaktubkan hasil serta mahsul GTP dan ETP yang telah dilaksanakan.
4. Jika disusuri dengan teliti, agenda besar transformasi negara, telah dimulai dengan GTP, ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP.
5. Sememangnya proses penggubalan dasar-dasar pembangunan sesebuah negara adalah kompleks. Jadinya, semua dirangka, disusun dan dipermudahkan dalam komponen-komponen yang saya sebutkan sebentar tadi supaya dapat digembleng oleh semua pihak dengan lebih terancang dan berstrategi.
6. Oleh itu, jika dirangkum, keseluruhan program ini bernaung di bawah satu lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Semuanya ini, tidak lain dan tidak bukan bagi memandu dan mempedati Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pabila menyingsingnya suria 2020 kelak.
