Memaparkan catatan dengan label MH17. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MH17. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Ogos 2014

#MalaysiaBerkabung: 11 Jenazah Tragedi #MH17 Selamat Disemadikan

Krew kabin MH17 Allahyarhamah Hamfazlin Sham Mohd Arifin (gambar) berasal dari Kg Teluk Sareh, Mukim Pulau Tiga, Perak selamat dikebumikan di Gombak.






























Jenazah 11 daripada 20 warga Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam semalam, telah selamat disemadikan setakat jam 7 malam tadi.
    
Mereka ialah enam anak kapal MH17 iaitu Mastura Mustafa, Ahmad Hakimi Hanapi, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, Nur Shazana Mohamed Salleh, Dora Shahila Kassim dan Azrina Yakob.



Lima penumpang pesawat malang itu, yang juga selamat disemadikan ialah Ariza Ghazalee, Muhammad Afif Tambi, Mohd Ali Md Salim, Hasni Hardi Parlan dan Noor Rahimmah Mohd Noor.


    Video ini memperlihatkan Allahyarhamah Hamfazlin sedang menutup ruangan bagasi di dalam pesawat.

Jenazah Mastura dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Paroi manakala Ahmad Hakimi dan Nur Shazana di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya.     

Tanah Perkuburan Islam Batu Muda di Gombak menjadi tempat persemadian Allahyarham Hamfazlin Sham; Allahyarham Dora Shahila di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara manakala Allahyarham Azrina di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Hidayah di Taiping.
    
Jenazah Ariza dan anak lelakinya, Muhammad Afif pula dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petrajaya, Kuching manakala Mohd Ali dan Hasni Hardi masing-masing di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Muar serta Tanah Perkuburan Batu 8, Segamat di Johor.
    
Jenazah Noor Rahimmah pula dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Lama, Tambun.
    
Dalam perkembangan berkaitan, upacara pembakaran mayat dua penumpang bukan Islam iaitu Foo Ming Lee dan Ng Qing Zheng akan berlangsung di Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam pada Ahad.
    
Abu mayat anak kapal MH17 Lee Hui Pin pula dibawa ke kediaman keluarganya di Subang Jaya bagi membolehkan sanak saudara dan sahabat handai mendiang memberi penghormatan terakhir sebelum upacara pengebumian di Taman Peringatan Nilai pada Ahad.
    
Jenazah seorang lagi anak kapal MH17, Chong Yee Pheng, akan disemadi di Taman Peringatan Paradise, Tanjung Rambutan, Perak, juga pada Ahad ini.
    
Esok, abu mayat Karamjit Singh Karnail Singh akan ditabur di kawasan laut di Pelabuhan Klang.
    
Sementara itu, abu mayat Elisabeth Ng Lyeti akan disimpan di Pusat Xiao En Bereavement di Cheras sementara menunggu dua lagi jenazah anggota keluarganya yang turut terbunuh dibawa pulang ke tanah air.
    
Mereka ialah kakak mendiang, Ng Shi Ing, seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah dan anak saudara lelakinya, yang berusia setahun.
    
Dalam pada itu, Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi menjadi tempat persinggahan jenazah Paul Rajasingam Sivagnanam dan isterinya, Mabel Anthony Samy, sebelum dibawa ke rumah mereka di Bangsar, Sabtu.
    
Manakala pengurusan abu mayat pramugari Angeline Premila Rajandaran dirahsiakan keluarganya.

Dalam perkembangan lain, dua lagi jenazah mangsa nahas MH17 warga Malaysia - satu beragama Islam dan satu lagi Buddha - dijangka tiba di tanah air esok.

Kedua-dua jenazah akan dibawa oleh pesawat khas Malaysia Airlines (MAS) pada 12 tengah hari Sabtu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Ahad.

Difahamkan kedua-dua jenazah, yang identitinya belum boleh diumum itu, sudah diletak di dalam keranda dan bekas abu mayat serta dipindah ke Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol.

Pihak Kedutaan Malaysia di sini mengesahkan maklumat itu namun enggan mengulas lanjut.
    
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat Boeing 777-200 milik syarikat penerbangan Malaysia itu.

Al Fatihah buat saudara seagama YPS yang terlibat dalam tragedi menyayat hati ini. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat keampunanNya serta menempatkan mereka di kalangan mujahidin dan hambaNya yang beriman.

Selasa, 22 Julai 2014

#TragediMH17: @azwanbro Ketuai Himpunan Aman #Justice4MH17 Desak Siasatan Terperinci @NajibRazak @KhairyKJ

Biarpun Malaysia telah berjaya mendapatkan semula kotak hitam dan mayat nahas pesawat MH17 yang dipercayai telah ditembak jatuh di Wilayah Ukraine, Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini tetap menganjurkan himpunan aman di hadapan kedutaan Ukraine dan Rusia.

Himpunan yang disertai lebih dari 500 peserta tersebut bertujuan menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan Rusia, Ukraine dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca kejadian.

Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun, antara intipati memorandum tersebut mendesak agar siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti dalang yang menembak jatuh pesawat berkenaan.

“Kita mahu siasatan terperinci dilakukan.. Bukan setakat memulangkan kotak hitam dan mayat. — Azwanbro

Tambah Azwan lagi, mereka akan terus memberi tekanan supaya pihak yang menembak jatuh dan membunuh 298 penumpang dan krew pesawat milik Malaysia itu berjaya dikenalpasti dan dibawa kemuka pengadilan.

“Kita akan terus bagi tekanan selagi mana keadilan tidak ditegakkan. Dan kita juga desak supaya pasukan siasatan ditubuhkan dan dianggotai oleh penyiasat yang terdiri daripada negara-negara yang terlibat dengan tragedi ini.



Himpunan aman yang dinamakan #Justice4MH17 turut disertai oleh beberapa NGO lain itu berkumpul di Great Eastern Mall sebelum berarak ke kedutaan Rusia di Jalan Ampang.

Setelah hampir 15 minit menunggu di pagar utama, memorandum tersebut berjaya diserahkan kepada wakil kedutaan.

Selain Azwan, turut serta adalah Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon,  Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar, Penolong Setiausaha Pemuda, Datuk Sahfri dan Ketua Pemuda MIC, R Sivaraajh.

Kumpulan ini seterusnya bergerak ke Kedutaan Ukraine di Jalan Tun Razak bagi mendesak perkara yang sama, selain meminta kerajaan Ukraine memberi jaminan keselamatan dan akses penuh pasukan penyiasat antarabangsa.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat memudahkan proses membawa pulang mayat dan kotak hitam, tetapi kita mahu akses dan jaminan keselamatan bagi pasukan siasatan khas menjalankan siasatan di lokasi nahas,” kata Azwan.

Mengulas mengenai kejayaan Malaysia mendapatkan kotak hitam dan mayat mangsa nahas, Azwan mengucapkan sekalung tahniah atas kejayaan diplomasi Perdana Menteri meleraikan kekusutan nahas tersebut. 

“Pemuda UMNO mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri kerana berjaya meleraikan kekusutan berhubung insiden tersebut terutama untuk membawa pulang jenazah rakyat negara kita sebelum 1 Syawal,” ujarnya.



Malah katanya, YAB Perdana Menteri telah menunaikan janji untuk berusaha dengan apa cara sekalipun bagi membawa mayat warga Malaysia yang menjadi mangsa nahas MH17 ke tanahair sebelum perayaan Aidil Fitri.

“Saya yakin, Datuk Seri Najib tidak tidur malam memikirkan formula bagi menangani krisis ini dan hasilnya, beliau berjaya mengadakan perbincangan dengan ketua pemberontak, Dorodai.

Kejayaan ini sedikit-sebanyak dapat membuka ruang seterusnya dalam merungkai setiap persoalan disebalik tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di wilayah Ukraine,” ujar Azwan.

Isnin, 21 Julai 2014

#TragediMH17: #PemudaUMNO Akan Serah Memorandum Ke Kedutaan Ukraine, Rusia & PBB @NajibRazak @Khairykj @azwanbro


Pergerakan Pemuda UMNO akan menghantar memorandum kepada kedutaan beberapa negara, mendesak mereka segera menyelesaikan konflik nahas MH17 yang berlaku di sempadan Ukraine baru-baru ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Naib Ketua Pemudanya, Khairul Azwan Harun kepada pemberita selepas selepas Program Sumbangan Hari Raya kepada Anak-Anak Angkat Menteri Besar Perak di Mydin Meru Raya, semalam.

"Pemuda UMNO akan menghantar memorandum ke Kedutaan Rusia, Kedutaan Ukraine dan perwakilan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Kuala Lumpur Selasa ini bagi menyatakan pendirian serius kami terhadap tragedi yang menimpa MH17," ujarnya.

Azwan meminta semua pihak terutamanya Amerika Syarikat agar bersikap telus dalam menyelesaikan konflik itu untuk memudahkan pasukan penyiasat khas dan bantuan diberi akses memasuki kawasan nahas bagi menjalankan tugas mereka.

"Kita berharap mereka yang terlibat segera mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang sedang melanda di timur Ukraine," katanya.

"Pemuda UMNO begitu kecewa dan sedih dengan konflik geopolitik yang berlaku di kawasan tersebut hingga menyebabkan mangsa nahas MH17 masih tidak boleh dikeluarkan sehingga kini.

"Diharap pihak PBB, kerajaan Ukraine dan Russia dapat mengenepikan buat sementara pertikaian wilayah mereka bagi memberi ruang kepada pasukan penyiasat mencari punca sebenar tragedi tersebut, - Azwanbro.

Tambah beliau lagi, kotak hitam pesawat MH17 itu juga harus dikembalikan kepada Malaysia kerana ianya adalah hak milik mutlak negara.

"Kami berharap tidak akan ada usaha dari mana-mana pihak untuk menyembunyi dan melindungi kotak hitam MH17 samada Ukraine, Russia ataupun puak pemisah.

YAB Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif supaya semua mayat mangsa dan kotak hitam segera ditemui.

"Perdana Menteri telah menghubungi ramai pemimpin termasuk Presiden Ukraine, Putin (Presiden Rusia) dan Ban Ki-moon (Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan merayu kepada dunia agar pasukan kita memperoleh laluan selamat untuk memasuki kawasan kemalangan. 

"Rakyat Malaysia bahkan seluruh komuniti dunia mahukan keadilan terhadap mangsa-mangsa MH17 kerana ini bukan satu agenda politik tapi jenayah kemanusiaan yang tidak mengenal sesiapa dan mana-mana pihak sekalipun," katanya.

17hb Julai lalu, pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. 

Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) tersebut membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.

MISI BANTUAN KE GAZA

Pemuda UMNO dan beberapa badan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Malaysia akan menggerakkan seramai 50 sukarelawan untuk pergi ke bumi Gaza bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Misi ini akan diketuai oleh Datuk Azeez Rahim dan kami juga telah menghantar jemputan kepada barisan Pemuda PAS dan NGO di seluruh Malaysia untuk turut serta.

"Kita akan membantu pelarian Palestin yang semakin dikejami tentera rejim Zionis Israel di bumi Gaza dan isu kemanusiaan tidak mengenal agama dan wilayah," katanya lagi.

Ahad, 20 Julai 2014

#TragediMH17: Senarai Nama Penumpang & Krew Penerbangan

Berikut adalah senarai nama penumpang serta krew penerbangan pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang terhempas di Ukraine, 17 Julai yang lalu.




Al FATIHAH buat penumpang yang beragama Islam. Semoga Allah SWT menempatkan mereka dikalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Jumaat, 18 Julai 2014

#MH17: PM Arahkan Siasatan Segera, Hentikan Spekulasi @NajibRazak @HishammuddinH2O @Azwanbro

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terkejut dengan kejadian yang dilaporkan menimpa pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17.

Perdana Menteri menerusi akaun Twitternya berkata, kerajaan akan menyiasat segera kejadian tersebut.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi akaun twitternya menjelaskan, masih belum ada pengesahan bahawa pesawat itu ditembak jatuh.

"Pihak tentera telah diarahkan untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (berhubung insiden tersebut)," katanya.


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun menerusi laman facebooknya turut melahirkan rasa terkejut dengan berita yang menimpa MH17 . 

Azwan menasihati rakyat Malaysia supaya menghentikan penyebaran gambar-gambar palsu dan berita yang tidak sahih untuk memudahkan penyampaian berita yang benar dan disahkan.

“Sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah SWT, agar dipermudahkan segala urusan dalam menyelesaikan tragedi ini.

Pihak MAS akan mengadakan sidang media berkaitan tragedi MH17 ini pada jam 4.00 pagi nanti.

TERKINI: Pesawat MAS #MH17 Terhempas di Ukraine, Dipercayai Ditembak Jatuh

Pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di Ukraine, lapor Reuter.

Memetik sumber industri penerbangan, laporan tersebut menyatakan pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (masa Amsterdam) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

Kesemua 297 penumpang yang menaiki pesawat tersebut dilaporkan maut dalam nahas tersebut.

TAKZIAH buat keluarga mangsa.


Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..