Memaparkan catatan dengan label DYMM Paduka Sultan Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DYMM Paduka Sultan Perak. Papar semua catatan

Ahad, 20 April 2014

Institusi Raja Termaktub Dalam Perlembagaan Negara - Raja Dr Nazrin Shah


Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah institusi raja bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua sebaliknya sudah termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Negara.

“Sepuluh peratus iaitu 19 dari 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan Raja, bermakna Malaysia yang mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggung jawab tertentu kepada Raja Pemerintah.

“Oleh itu, takhta perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan.

“Takhta juga perlu bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran,” titahnya sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-86 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

“Raja yang bersemayam di takhta kerajaan memerintah dan bukan mentadbir.

Raja Pemerintah titah Nazrin, merupakan payung kedaulatan negara dan wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum dan agama.

“Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

“Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian demi memastikan peranan takhta diterima baik dan ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara,” titah baginda lagi.

Bagi menyelami minda agar dapat lebih memahami tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan, terutama untuk menghadapi generasi muda, baginda titahnya, sentiasa mengimbas ingatan akan semangat permuafakatan yang telah terukir di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.

“Ia satu kontrak sosial menyentuh hubungan Raja dengan rakyat dan hubungan rakyat dengan Raja bahawa rakyat akan kasih dan setia kepada Raja yang adil berlandaskan semangat “Raja adil – Raja disembah”.

“Beta juga amat insaf bahawa daulat dan darjat seseorang Raja “tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek.”

“Justeru itu, keluhuran institusi Raja perlu dipelihara daripada sebarang penodaan dan dikawal dari sebarang pencemaran untuk memastikan warga kekal menabur bunga setia,” titah Nazrin lagi.

Sabtu, 19 April 2014

803 Terima Darjah Dan Pingat Kebesaran Perak


Pengerusi Affin Holdings Berhad Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin mendahului senarai 803 penerima darjah dan pingat kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun ke-86 Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Mohd Zahidi yang juga Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak dianugerah darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dianugerah darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Baginda turut berkenan menganugerahkan darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada empat penerima iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Datuk Abd Rahman Zainuddin dan Orang Kaya-kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar penerima tunggal darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga penerima dianugerah darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak Mohd Nizar Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak Dr Muhammad Amin Zakaria.

Seramai 24 orang menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk.

Penerima DPMP berkenaan ialah Perunding Anestesiologis, Institut Jantung Negara (IJN) Dr Sharil Azlan Ariffin, Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi IJN Dr A.N Thiru Kumar, Pengerusi Eksekutif Mahir Holding Sdn Bhd Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Penasihat Undang-undang Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong Mohd Azhar Jamaluddin, Adun Trong Dr Zabri Abdul Wahid, Adun Pasir Panjang Rashidi Ibrahim, Penasihat Undang-Undang Barisan Nasional Perak Badrul Hishah Abd Wahap.

Naib Pengerusi MCA Perak Chang Chun Cheun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak Ahmad Rizal Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MB Incorporated Aminuddin Zaki Hashim, Pengurus Besar Yayasan Perak Dr Zulkapli Mohamed, Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin.

Pengurus Besar Kanan Boustead Estates Agency Sdn Bhd Shoib Abdullah, Pengarah Institut Respiratori Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, Penasihat kepada Menteri Besar Perak V.

Elango, Timbalan Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Steven Wong Cheng Ming, Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Selayang Dr Fitjerald Henry, C.K Gnasegarah, K.T Rajan, Ir Khairudin Sidek, Albert Chang Si Fock dan Shyamala Devi Alagendra.

Tiga penerima darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk ialah Panglima Bantuan Perkhidmatan Markas Bantuan Perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut Laksamana Pertama Khairuddin Mohd Arif, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Pemangku SAC Burhanuddin Ijab dan Pakar Bedah Am di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Brig Jen Dr Shabbar Husain Fazle Abbas.

Sultan Azlan Shah turut berkenan menganugerahkan darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada sembilan penerima, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 34 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 12 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 171 penerima.


Sebanyak 311 orang dianugerah Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 215 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 14 penerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Pengamal media di Perak iaitu Ketua Biro Bernama Perak Muna Khalid dan Ketua Pemberita China Press Leong Oi Yin masing-masing dianugerah AMP manakala wartawan New Straits Times Sylvia Looi, jurufoto Sin Chew Daily Ting Choo Hing, Penolong Ketua Biro Sinar Harian Normawati Ah Adnan dan P. Sandrasegar masing-masing menerima PPT.

Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran dijadual diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini hari ini, seterusnya disambung pada 6 Mei, 17 Mei dan 31 Mei.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..