Memaparkan catatan dengan label Dr Kassim Ahmad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dr Kassim Ahmad. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Februari 2014

#AntiHadis: @Azwanbro Saran Segera Letakkan Fahaman ASWJ Dalam Perlembagaan @NajibRazak #pemudaUMNO

Kisah Anti Hadis yang hangat diperkatakan pada hari ini bermula apabila Dr Kassim Ahmad dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad lalu dilaporkan antaranya mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad dan berkata rambut bukan aurat wanita.

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: 'Satu Penilaian', dipercayai dianjurkan oleh Persatuan Sahabat Pena Kassim Ahmad dan turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan sahabat baik Kassim.


Kenyataan Kassim Ahmad tersebut membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Antara yang mengkritik Kassim Ahmad adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan beberapa tokoh agama terkemuka tanahair.


Kassim Ahmad dilabel sebagai seorang yang anti hadis dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuat laporan polis menuntut agar Kassim Ahmad disiasat dan didakwa.


Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) termasuk PAS turut mengecam kenyataan Kassim itu.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh Kassim.


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun melalui kemaskini laman twitter miliknya menyarankan agar fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah segera diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan.



Meletakkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah penting berdasarkan kepada aqidah serta prinsip golongan berfahaman tersebut, selain ianya dapat dijadikan pegangan, panduan serta perundangan bagi mengelakkan aqidah umat Islam di Malaysia terpesong dengan ajaran sesat yang dibawa oleh golongan-golongan anti hadis, Syiah dan sebagainya. 

Azwan pernah menyarankan perkara ini dalam ucapan 'USUL TERIMA KASIH ATAS UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA' di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia 2013 tahun lalu di PWTC. Di bawah ini adalah petikan teks ucapan beliau. Ucapan penuh di SINI.

USUL KEEMPAT – Pemuda UMNO menuntut tindakan yang lebih tegas dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu-isu yang mengancam akidah umat dan kesucian Islam yang membudayakan cara hidup songsang yang bertentangan dengan nilai agama dan moral sejagat.

Gerakan pluralisme agama, liberalisme, ekstremisme, ajaran sesat, kumpulan – kumpulan tertentu, kini jelas menjadi ancaman kepada kestabilan negara. Kita tidak boleh memandang ringan ancaman gerakan ini kerana sasaran mereka adalah daripada kalangan golongan muda.

Penghinaan kepada institusi – institusi negara seperti kehakiman, mahkamah syariah, institusi raja kini ibarat cacing naik ke mata. Terbaru, kebebasan tanpa batas cuba dipopularkan dengan harapan sokongan generasi muda akan datang kepada mereka.

Untuk itu, gandingan usaha kerajaan dan gerakan massa mesti dilakukan dalam menangani penularan wabak pemikiran kebebasan tanpa sempadan sebegini.

Bagi membentengi umat dan generasi akan datang, Pemuda amat bersetuju dengan saranan Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden agar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Oleh yang demikian, Pemuda mencadangkan definasi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai mereka yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan lebih serius bagi memelihara kesucian agama Islam di Malaysia. Tidak cukup dengan ancaman dari golongan Non-Muslim, hadir pula pihak-pihak yang mengaku Islam tetapi mengamalkan fahaman ajaran sesat.


FATWA MENGENAI KUMPULAN ANTI HADIS  [sumber]

Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:
Keputusan:
'A. Bahawa:
(a) Buku-buku yang bertajuk:
(i) 'Hadis Satu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik' yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(ii) 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu dan Hadis Di Dalam Al-Quran' yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(iii) 'Bacaan' yang ditulis oleh Othman Ali;
(iv) 'The Computer Speaks God"s Message To The World' yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa; dan
(b) Risalah 'Iqra' terbitan Jemaah Al-Quran Malaysia;
Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut antara lain, menolak hadis sahih (iaitu hadis yang disahkan bersumber daripada Rasulullah s.a.w.) sebagai sumber Akidah dan Perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah s.a.w. dan menghina Al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat Al-Quran.
B. Bahawa orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang disebut dalam subperenggan (A)(a) dan (b) adalah sesat dan bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam.
C. Oleh yang demikian:
(1) mana-mana orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadis Di Dalam Al-Quran', 'Bacaan', 'The Computer Speaks God"s Message To The World' dan risalah 'Iqra' ADALAH MURTAD.
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang:
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut;
(b) mencetak, menerbit, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku-buku buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadis Di Dalam Al-Quran', 'Bacaan', 'The Computer Speaks God"s Message To The World' dan risalah 'Iqra' atau mana-mana bahagianya, termasuk:
(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku dan risalah itu;
pada apa-apa bahan, samada bahan cetak atau media elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media;
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana kumpulan yang tersebut dalam subperenggan C (1) atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.
(d) menjalankan sebarang kegiatan yang berkaitan dengan pengajaran, penyebaran, membantu ke arah penyebaran ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman ini.'

Khamis, 20 Februari 2014

Jakim Pandang Serius Isu Dibangkitkan Kassim Ahmad

Kenyataan penuh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian.

Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.


Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

- Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

- Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

- Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

- Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

- Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

- Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

- Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

i) Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.

ii) Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.

iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.

iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.

v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Quran

vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.

Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.

Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.

Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam.

Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.

Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Justeru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.

Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri.

Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..