Memaparkan catatan dengan label Malaysia Airlines. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia Airlines. Papar semua catatan

Selasa, 9 Disember 2014

#PemudaUMNO Desak Kaji Semula Pelantikan CEO, Beri Kepercayaan Anak Watan #MAS @Azwanbro @NajibRazak @Zahid_Hamidi @KhairyKJ #KhazanahNasional


Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Khazanah Nasional agar mengkaji semula pelantikan Christop R. Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS Newco) yang baharu.

Naib Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, Khazanah perlu memberi kepercayaan kepada anak tempatan untuk menerajui syarikat penerbangan Malaysia itu.

Adalah terlalu berisiko untuk MAS yang merupakan aset strategik nasional dengan dana RM6 bilion hasil suntikan Khazanah, diuruskan oleh rakyat asing - Azwan.

“Pemuda UMNO melihat sekiranya pelantikan rakyat asing ini diteruskan, ia bakal mengundang pelbagai persepsi terhadap kemampuan Khazanah, yang dilihat terpaksa bergantung kepada pakar luar.

“Pemuda UMNO amat khuatir sekiranya pakar luar dijadikan taruhan dengan risiko yang terlalu tinggi," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Program Pertukaran Belia Malaysia-China 2014 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, Pemuda UMNO percaya ramai rakyat Malaysia yang berkelayakan, berpengalaman dan berkemampuan untuk menerajui MAS selain lebih memahami keperluan budaya dan cara kerja serta iklim ekonomi kita.

“Kita melihat justifikasi pemulihan lebih berbentuk pengurangan kos operasi dan pencarian laluan udara yang profitable (menguntungkan).

"Kita percaya Khazanah mampu mencari calon tempatan yang layak sekiranya mahu dengan bantuan Talent Corp," ujarnya lagi.

Pada 5 Disember lalu, MAS mengumumkan pelantikan Mueller sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS dan CEO MAS NewCo berkuat kuasa 1 Januari 2015.
Pemuda UMNO menegaskan, sekiranya Khazanah memerlukan tenaga asing mereka boleh dilantik sebagai perunding atau penasihat kepada MAS.

Dalam sidang media yang sama, Pemuda UMNO bersetuju dengan tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen menarik balik pasport mereka.

Bahkan PPUM mendesak di atas kedegilan mereka tidak mahu pulang untuk berhadapan dengan perundangan negara, agar tindakan lebih drastik diambil oleh pihak Peguam Negara supaya tindakan mahkamah untuk melucutkan kewarganegaraan mereka dibuat.

Ini memandangkan mereka tiada lagi hormat kepada prinsip Rukun Negara dan Malaysia tidak perlu mempunyai warganegara seperti mereka lagi.

Jumaat, 18 Julai 2014

#MH17: PM Arahkan Siasatan Segera, Hentikan Spekulasi @NajibRazak @HishammuddinH2O @Azwanbro

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terkejut dengan kejadian yang dilaporkan menimpa pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17.

Perdana Menteri menerusi akaun Twitternya berkata, kerajaan akan menyiasat segera kejadian tersebut.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi akaun twitternya menjelaskan, masih belum ada pengesahan bahawa pesawat itu ditembak jatuh.

"Pihak tentera telah diarahkan untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (berhubung insiden tersebut)," katanya.


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun menerusi laman facebooknya turut melahirkan rasa terkejut dengan berita yang menimpa MH17 . 

Azwan menasihati rakyat Malaysia supaya menghentikan penyebaran gambar-gambar palsu dan berita yang tidak sahih untuk memudahkan penyampaian berita yang benar dan disahkan.

“Sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah SWT, agar dipermudahkan segala urusan dalam menyelesaikan tragedi ini.

Pihak MAS akan mengadakan sidang media berkaitan tragedi MH17 ini pada jam 4.00 pagi nanti.

TERKINI: Pesawat MAS #MH17 Terhempas di Ukraine, Dipercayai Ditembak Jatuh

Pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di Ukraine, lapor Reuter.

Memetik sumber industri penerbangan, laporan tersebut menyatakan pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (masa Amsterdam) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

Kesemua 297 penumpang yang menaiki pesawat tersebut dilaporkan maut dalam nahas tersebut.

TAKZIAH buat keluarga mangsa.


Isnin, 21 April 2014

VIDEO Pesawat #MH192 Selamat Melakukan Pendaratan Cemas



ALHAMDULILLAH, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Bangalore, India disahkan SELAMAT MENDARAT di KLIA pukul 01.56 pagi tadi, menurut laman twitter MAS. 

Roda kanan pesawat Boeing B737–800 tersebut dikesan mengalami kerosakan ketika berlepas pada pukul 10.09 malam tadi.

Dalam satu kenyataan pada pukul 1.35 tadi, MAS mengesahkan pesawat itu terpaksa melakukan pusingan balik ke KLIA dan dijangka akan melakukan pendaratan cemas sekitar pukul 2 pagi ini.

Pesawat tersebut terpaksa berlegar di ruang udara Selat Melaka selama hampir 4 jam, dipercayai bagi membakar bahan api dengan tujuan mengurangkan risiko berlaku letupan ketika melakukan pendaratan cemas.

Pesawat itu membawa 166 penumpang termasuk tujuh kru.

Datuk Seri Hishammuddin mendengar taklimat yang disampaikan sendiri oleh Ahmad Jauhari. 
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bergegas ke KLIA sejurus mendapat tahu kejadian tersebut. 


Hishammuddin berbual dengan juruterbang MH192 yang berjaya melakukan pendaratan cemas pagi ini.
YPS mengucapkan TAHNIAH kepada juruterbang serta pembantu juruterbang MH192 yang berjaya mendaratkan pesawat tersebut seterusnya menyelamatkan nyawa para penumpang serta kru penerbangan tersebut.


Syukur ke hadrat ALLAH SWT.

Isnin, 7 April 2014

#MH370: Kotak Hitam Dan Kaitan Dengan Frekuensi 37.5 kHz

Flight Recorder @ Kotak Hitam
Kotak hitam, yang merekodkan semua data di dalam kapal terbang, adalah alat penting dalam penyiasatan kemalangan udara dan kerana kotak hitam, sembilan daripada sepuluh kemalangan dapat dijelaskan.

Pesawat komersil akan membawa dua kotak hitam.  Perakam Digital Data Penerbangan mengandungi maklumat tentang kelajuan, ketinggian dan arah, manakala Perakam Suara Kokpit menjejaki perbualan kokpit dan bunyi dan pengumuman lain di dalam kabin juruterbang.

Ia sebenarnya berwarna oren ditambah dengan jalur putih agar ia mudah untuk dikesan. Setiap kotak hitam seberat tujuh hingga sepuluh kilogram (15-22 lb).

Diperkenalkan penggunaannya untuk penerbangan pada tahun 1960-an, perakam penerbangan diletakkan di dalam kotak besi agar ia dapat tahan lasak, elak dari kebakaran dan dapat bertahan di dalam air yang dalam.


Ia boleh bertahan sedalam 6,000 meter (hampir 20,000 kaki) di bawah air atau kepada suhu yang sangat panas iaitu 1,100 darjah selsius untuk satu jam. Ia dilengkapi dengan pengesan yang boleh mengeluarkan isyarat selama kira-kira satu bulan.

Isyarat itu kadang-kadang boleh berterusan selama beberapa hari selepas tempoh ini, kira-kira lapan hingga 10 hari, menurut ketua misi carian Australia, Angus Houston.

Frekuensi 37.5 kHz adalah denyutan yang paling biasa untuk perakam data penerbangan, menurut pakar . Ia adalah tahap yang sama di mana isyarat yang dikesan oleh kapal Cina Haixun 01 pada 5 April ketika pencarian dilakukan di selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat MH370 yang hilang.

Kotak hitam dapat dikesan dalam purata dua kilometer (1.2 batu).

Perairan dimana kapal China melakukan pencarian adalah 4.5 kilometer (hampir tiga batu) dalam.

Jadi, walaupun isyarat didapati datang dari pesawat namun kerja mencari tetap akan menjadi satu cabaran, kata Houston.

Pada Januari 2004 kotak hitam penerbangan Mesir yang terhempas di perairan Sharm el-Sheikh ditemui selepas carian dua minggu, 1,022 meter di bawah air.

Pada bulan Mei 2011, selepas 23 bulan tenggelam pada kedalaman 3,900 meter di Lautan Atlantik, kotak hitam penerbangan Air France AF447 berjaya ditemui dengan data yang masih utuh.

Ini dapat membantu penyiasat untuk menentukan punca kemalangan yang berlaku pada 1 Jun 2009.

Kronologi 30 Hari Pencarian Pesawat #MH370 #MalaysiaAirlines #DoakanMH370



Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, yang masuk hari ke-30 semalam, terus dipergiat dan menyaksikan lebih banyak aset ketenteraan digerak ke selatan Lautan HIndi, termasuk pesawat C-130 Hercules ketiga milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).


Berikut kronologi insiden kehilangan MH370:

* 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.

* 8 Mac - Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.

* 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

* 8 Mac - Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

* 9 Mac - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

* 9 Mac - Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.

* 10 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

* 10 Mac - APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.

* 11 Mac - Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.

* 12 Mac - Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.

* 13 Mac - Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

* 13 Mac - China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.

* 14 Mac - Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.

* 14 Mac - Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.

* 15 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.

* 16 Mac - Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.

* 16 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

* 16 Mac - Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

* 17 Mac - Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.

* 18 Mac - Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.

* 19 Mac - Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.

* 20 Mac - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang

Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.

* 21 Mac - Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasaAustralia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih.

* 22 Mac - transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.
    
Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.

* 23 Mac - Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.

* 24 Mac - Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

*  25 Mac - Pengerusi MAS berkata syarikat penerbangan itu mengisytiharkanpesawatnya bagi penerbangan MH370 bersama-sama 239 penumpang serta anak kapal 'hilang' berdasarkan bukti daripada Inmarsat dan AAIB

Najib berkata Perdana Menteri Australia Tony Abbot memberi jaminan negara itu akan meneruskan usaha mencari MH370.
- Hishammuddin berkata kedudukan terakhir MH370 akan dikenal pasti menerusi kaedah 'Kesan Doppler' oleh AAIB dan pencarian MH370 di koridor utara ditamatkan
- Muka depan akhbar arus perdana Malaysia dicetak hitam putih sebagai tanda media berkabung dengan berita tragedi yang menimpa pesawat malang MAS itu.

*  26 Mac - Najib berkata Malaysia dan China akan terus menjalin kerjasama rapat dalam pencarian MH370.

- Hishammuddin berkata imej satelit mengesan 122 objek berpotensi yangmungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370, kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Australia.

*  27 Mac - Hishammuddin berkata Malaysia sedia menghantar satu pasukan ke Perth, Australia yang terdiri daripada DCA, MAS, TLDM dan TUDM.
- Satu satelit Thailand mengesan 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,700 kilometer (1,680 batu) di barat daya Perth.

* 28 Mac - Hishammuddin berkata operasi pencarian bagi menjejaki pesawat MH370 memfokus kepada mendapatkan serpihan yang dikesan di selatan Lautan Hindi berikutan laporan beberapa negara.

- Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia T.S. Tirumurti berkata kerajaan India menzahirkan penghargaan kepada Malaysia berhubung cara ia mengendali tragedi pesawat MH370, yang disifatkannya sebagai "tugas amat penting."

* 29 Mac - Hishammuddin berkata wujud keperluan untuk Malaysia meningkatkan kekuatan aset ketenteraan bermula dengan sistem radar hinggalah kepada keupayaan teknologi.

- Hishammuddin menasihati media, terutama media antarabangsa, agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi berhubung kehilangan MH370.

* 30 Mac - Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata beberapa objek yang diperoleh kapal HMAS Success dan Haixun 01 pada Sabtu, dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 selepas diperiksa.

- Anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 menggesa kerajaan menunjukkan bukti bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

* 31 Mac - Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagaipegawai khas Malaysia ke China bagi bertemu anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang.

- Hishammuddin mengeluarkan transkrip perbualan terakhir antara pengawaltrafik udara dan kokpit pesawat  MH370 pada jam 0119 (waktu Malaysia) pada 8 Mac iaitu "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong".

- PM Australia menyokong pandangan Najib bahawa penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi yang terpencil.

* 1 April - Kementerian Pengangkutan mengeluarkan transkrip penuh perbualanradiotelefon antara juruterbang MH370 dan pengawal trafik udara, tanpa petunjuk terdapat sebarang perkara yang tidak normal.

- MAS berkata ia dimaklumkan bahawa satu petisyen yang difail bagi pihak seorang penumpang pesawat MH370 ditolak oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat.

* 2 April - Sebuah kapal selam kelas Trafalgar, HMS Tireless, tiba di selatan Lautan Hindi tatkala misi mencari pesawat MH370 di kawasan itu masuk hari ke-26.

- Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang "bersih"daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi namun masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
- Pihak berkuasa mengendalikan penyiasatan dan pencarian pesawat MH370bertemu lebih 40 anggota keluarga penumpang di Hotel Bangi-Putrajaya, di mana mereka ditempatkan, kebanyakannya warga China.
- Perkataan "berakhir" di selatan Lautan Hindi yang dipilih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerangkan nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 adalah pilihan terbaik, kata Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang.

* 3 April - Operasi mencari pesawat Malaysia yang hilang masuk hari ke-27, dengan kawasan pencarian meliputi kira-kira 223,000 kilometer persegi kira-kira 1,680 kilometer di barat laut Perth, Australia.

- Operasi pusat media mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini akan dihentikan mulai 8 April.
- Najib berkata teknologi dron bawah air diperlukan untuk fasa seterusnyadalam operasi mencari dan mengesan di selatan Lautan Hindi memandangkan hayat pinger bateri kotak hitam akan kehabisan dalam tempoh empat hari.
- Malaysia dan Australia berikrar akan meneruskan usaha mencari pesawat MH370 tanpa garis masa.
- Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) menyatakan tiada sebarang objek dikesan di kawasan pencarian hari ini.

* 4 April - Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr Hasan Madmeminta media tempatan agar proaktif menangkis semua laporan negatif dan tidak tepat oleh media asing berhubung kehilangan pesawat Mh370 sejak 8 Mac lepas.

- Australia hari ini berkata pihaknya sedang merangka satu perjanjian komprehensif untuk berkhidmat sebagai 'wakil bertauliah' dalam penyiasatan mengenai kehilangan pesawat MAS.

Angus Houston, ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di sini, berkata perjanjian itu akan membolehkan Australia membantu Malaysia dalam menjalankan penyiasatan mengenai Penerbangan MH370 dengan berlandaskan undang-undang antarabangsa.

- Usaha menjejaki pesawat MH370 kini diperluas kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi itu.

* 5 April - Hishammuddin mengumumkan bahawa Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertanggungjawab' yang bebas bagi mengetuai pasukan penyiasatan merangkumi kumpulan layak terbang, kumpulan operasi serta kumpulan perubatan dan faktor manusia bagi menyiasat kehilangan MH370.  

- Pasukan itu akan turut disertai negara bertauliah seperti Australia, China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.
- Kerajaan juga mewujudkan tiga jawatankuasa peringkat menteri iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penempatan Aset dalam usaha memperkemas serta memperkukuh usaha berterusan pencarian pesawat itu.
- Hishamuddin juga berkata penyiasatan ke atas anak kapal penerbangan MH370 masih berjalan dan tiada siapa telah dibersihkan.
- Alat pengesan kotak hitam yang digunakan kapal peronda China Haixun 01, mengesan isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.

* 6 April - Pencarian MH370 dipertingkat di selatan Lautan Hindi membabitkan 112 pesawat dan 13 kapal meliputi kawasan seluas 134,000 batu persegi.

- Satu lagi isyarat detik dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield kira-kira 300 batu nautika dari isyarat detik yang dikesan oleh Haixun 01
- Pusat Penyelerasan Agensi Bersama (JACC) bagaimanapun belum dapat mengesahkan sama ada isyarat detik yang dikesan oleh Haixun 01 dan Ocean Shield adalah dari pesawat MAS penerbangan MH370. - Bernama

Isnin, 17 Mac 2014

#prkKajang: Kempen Muhammad Mat Taib Fitnah Kerajaan @najibrazak @azwanbro @chewmeifun #PrayForMH370

Sejak mengisytiharkan dirinya menyokong Pakatan Rakyat, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mat Taib mula mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Beliau yang juga dikenali sebagai Mike Tyson, dalam satu sidang media yang diterbitkan oleh Sinar Harian menuduh UMNO cuba mengaitkan Anwar Ibrahim disebalik insiden kehilangan pesawat Boeing 777 - 200 milik Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Beliau turut mencampuri urusan siasatan pihak berkuasa terhadap kehilangan MH370 apabila mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan pihak polis menyerbu kediaman kapten Zaharie sebagai tidak adil.

Tindakan polis menyerbu kediaman Zaharie tersebut bukan kerana beliau seorang penyokong kuat PKR tetapi serbuan tersebut berdasarkan keperluan dalam siasatan kehilangan MH370 sejak 9 hari yg lalu.

Melalui pengamatan YPS terhadap kenyataan sidang media kerajaan berkaitan kehilangan misteri pesawat MAS tersebut, belum pernah pihak kerajaan mengeluarkan kenyataan menuduh Anwar Ibrahim sebagai dalang disebalik kehilangan MH370 tersebut.
Keratan akhbat The Mail yang mengaitkan juruterbang Kapten Zaharie sebagai fanatik PKR.
Yang mengeluarkan kenyataan menuduh Kapten Zaharie adalah akhbar luar negara Mail Online.

Mail Online melabelkan kapten berpengalaman dalam dunia penerbangan itu sebagai penyokong taksub Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pesalah kes liwat bakal mendepani hukuman penjara 5 tahun seperti diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Mail Online memaparkan berita, Zaharie menghadiri sesi perbicaraan Anwar dan berkebarangkalian dia berasa AMAT kecewa berikutan hukuman terhadap Anwar.

Bagi YPS, sebagai orang lama dalam politik tanahair Muhammad perlu bijak mencipta modal kempen yang lebih profesional. 

YPS ~ faham betapa kecewanya Mat Tyson apabila kalah bertanding Timb Presiden UMNO.

Tapi teman tak lupa bagaimana Anwar Ibrahim pekenakan beliau dahulu ketika mereka berdua masih didalam UMNO. Hehe

Rabu, 12 Mac 2014

@UstazKazim Saran TV & Radio Perdengar Ayat Suci Al-Quran @shaberyc @ RTM_Malaysia #PrayForMH370

Pendakwah bebas terkenal tanahair, Ustaz Mohammad Kazim Elias dalam kemaskini laman facebooknya menyarankan agar stesen televisyen dan radio di Malaysia memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran bagi mengiringi usaha menjejaki kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

"Saya syorkan pada semua stesen tv dan radio pasang kan ayat2 suci Al Quran, hentikan semua program 'lagha'," katanya.

"Teruskan solat hajat disemua peringkat... Inilah kekuasaan Allah... Semoga kita mengambil iktibar.

Ustaz Kazim yang juga Pengasas Pusat Pendidikan Al Barakah yang terletak di Ipoh turut menggesa orangramai agar tidak memuatnaik lawak serta ulasan tak munasabah yang boleh meresahkan lagi keluarga penumpang MH370.

Beliau turut sama mendoakan agar pesawat MH370 tersebut segera ditemui dan berharap agar Allah menyelamatkan pesawat dan penumpangnya.

Nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Laut China Selatan dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bejing pada Sabtu kekal menjadi misteri.

Tiada laporan cuaca buruk atau petunjuk kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu dari skrin radar pada 1.30 pagi selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada jam 12.41 
pagi. 


Selasa, 11 Mac 2014

Telefon Penumpang #MH370 Dapat Dihubungi, Akaun QQ Papar Status 'Online' - Washington Post #PrayForMH370

Saudara kepada penumpang pesawat yang hilang, Malaysian Airlines MH370 mendakwa mereka dapat menghubungi telefon bimbit ahli keluarga yang terbabit dalam kejadian malang itu, menurut laporan media.

Washington Post berkata, keluarga sebahagian daripada 239 penumpang yang menaiki MH370 mendakwa mereka mendengar nada dering ketika membuat panggilan telefon.

“Dalam sebahagian kes lain, ada saudara mendakwa dapat melihat keluarga yang menaiki pesawat itu aktif online menerusi laman jaringan tempatan Cina digelar QQ,” lapor Post.

Perkembangan yang menyeramkan itu timbul dan pihak berkuasa Malaysia juga menggambarkan kehilangan MH370 sebagai misteri.

Seorang lelaki memberitahu Washington Post bahawa akaun QQ abang iparnya menunjukkan bahawa beliau sedang online.

Sumber - Washington Post

Isnin, 10 Mac 2014

Guna Pasport Curi, Jabatan Imigresen Akan Disiasat - @Zahid_Hamidi #PrayForMH370

Satu siasatan dalaman dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi kelmarin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370.

“Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia,” katanya kepada pemberita pada majlis pertemuan peserta konvoi Kembara Bumi Suci 2014 dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di sini, hari Ahad.

Ahmad Zahid berkata siasatan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat.

Katanya buat masa ini tiada sebarang kesimpulan boleh dibuat berhubung isu itu memandangkan siasatan baru sahaja bermula iaitu sebaik sahaja pemilik sebenar pasport berkenaan mendakwa dokumen masing-masing telah dicuri.

Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata adalah sukar untuk menentukan kesahihan sesuatu pasport antarabangsa yang dibawa seseorang pemegang memandangkan bukan semua negara menggunakan sistem biometrik dan kod bar seperti Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media di Sepang semalam mengesahkan hanya dua penumpang yang mempunyai pasport palsu bagi menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kedua-dua penumpang terbabit masing-masing menggunakan pasport warganegara Itali dan Austria.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.

Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Ahad, 9 Mac 2014

Kenapa Pesawat #MH370 Tidak Diisytiharkan Terhempas #PrayForMH370 #DoaUntukMH370

Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing yang hilang sejak awal pagi Sabtu sehingga kesaat ini masih belum lagi dapat disahkan nasibnya.

Apa yang menimpa pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu menjadi spekulasi orang ramai yang memulakan hari minggu mereka dengan berita yang mengejutkan itu.

Kebanyakan laporan media menyebut pesawat itu dipercayai terhempas di perairan Laut China Selatan, berdasarkan kepada lokasi akhir pesawat berkenaan dikesan melalui sistem perhubungan penerbangan.

Tetapi kenapakah pihak berkuasa belum mengesahkan laporan tersebut?

"Memang secara umumnya, siapapun boleh mengatakan pesawat itu terhempas tetapi kalau terhempas di manakah bangkainya?

"Hanya kalau ada bangkai pesawat ditemui barulah pesawat itu boleh disahkan sebagai terhempas," kata seorang pakar penerbangan kepada Astro AWANI.

Beliau yang enggan dikenali mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam soal kawalan trafik udara serta selok belok operasi mencari dan menyelamat.

Penerbangan MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal Sabtu, dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Ia membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dari 14 buah negara. Ia sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Ditanya bagaimanakah pesawat itu boleh hilang daripada radar, pakar berkenaan menjelaskan, ada kemungkinan pesawat itu terbang rendah pada paras bawah 500 kaki dari aras laut.

"Ada dua jenis radar yang digunakan iaitu radar pengawasan utama dan radar pengawasan sekunder," katanya.

Radar pengawasan utama mengukur hanya jangkauan dan arah kompas dengan mengesan isyarat kelip pada skrin. Radar pengawasan sekunder pula sebaliknya tidak hanya mengesan maklumat yang sama tetapi boleh mengesan maklumat lain seperti paras ketinggian penerbangan dan identiti pesawat.

Tambah pakar itu, biarpun terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik, kedudukan pesawat itu masih boleh dikesan sekiranya ia terhempas kerana dilengkapi dengan sistem lampu suar tanda lokasi (emergency locator beacon) yang akan mengeluarkan isyarat apabila terhempas.

"Sistem ini kalis air. Maknanya, kalau pesawat terhempas ke dalam laut sekali pun ia akan dapat dikesan," katanya.

Jelas beliau, apabila pesawat itu terkena impak baik di darat mahupun di laut, sistem itu akan terus mengeluarkan isyaratnya.

Di kalangan pemerhati industri penerbangan, insiden MH370 mengingatkan kepada nahas pesawat jenis Airbus 330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun kemudian.

MH370 dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun, yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,365 jam. Beliau menyertai Malaysia Airlines pada 1981. Zaharie dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid, 27 tahun, yang menyertai Malaysia Airlines pada 2007.

Sementara itu bekas Pengarah Urusan Penerbangan MAS, Tan Sri Abdul Aziz berkata penjelasan mengenai insiden ini perlu dibuat dengan berhati-hati dan maklumat yang lengkap kerana ia membabitkan implikasi perundangan.
Sedikit penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung isu penerbangan MH370, untuk difikirkan bersama:

1. Penumpang Pelbagai Negara

Kita perlu ingat bahawa dalam pesawat MH370 tersebut terdapat lebih 15 kewarganegaraan dengan kapasiti sebanyak 227 orang. Hal ini sebenarnya memberikan sedikit sebanyak tekanan kepada pihak MAS untuk memberikan maklumat terkini kepada wakil Kedutaan / Konsulat masing-masing.

Mungkin sesetengah Kedutaan mahukan maklumat segera dan pantas apatah lagi dalam keadaan lebih 17 jam pesawat yang masih belum ditemui, juga menyumbang kepada kelewatan dan kesukaran menyalurkan maklumat terkini. Fahamilah keadaan.

2. Hubungan Diplomatik 

MH370 hilang di perairan dan di ruang udara Vietnam, dan dalam konteks ini MAS bertindak dengan berhemah dalam menjaga hubungan diplomatik antara negara.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil pendekatan sendiri walaupun pesawat tersebut adalah milik negara kita. Sebab itulah hubungan bilateral diperlukan, kini pihak Kerajaan Vietnam sudah menggerakkan jentera menyelamatnya (Angkatan Laut Vietnam) ke perairan yang disyaki tempat kehilangan MH370.

Apabila pihak lain menjadi peneraju utama dalam misi, sudah pasti akan wujud beberapa prosedur tertentu yang digunakan oleh pihak berkenaan sebelum menyalurkan maklumat terkini kepada kita. Dalam ertikata lain; "Lain tempat lainlah cara penyampaian", jadi memang perlu bersabar dalam perkara ini.

3. Misi Melibatkan 5 Negara 

Misi mencari dan menyelamat telah pun digerakkan, Malaysia melalui Agensi Maritim dan aset ATM sudah berada di perairan berkenaan.

Terkini dilaporkan oleh Astro Awani, Maritim Malaysia tidak menjumpai sebarang objek pesawat MH370, manakala Vietnam melalui Angkatan Tentera Laut negara itu menafikan sudah menjumpai pesawat malang itu malah mereka dalam situasi mencari dan terus mencari di sekitar Pulau Vung Tau tempat di mana kali terakhir radar negara itu mengesan pergerakan MH370. 

Manakala China juga sudah menggerakkan aset pertahanan laut atas arahan Presiden Xi Jinping untuk misi mencari dan menyelamat.

Singapura sudah menghantar pesawat C130 untuk misi bantuan manakala Amerika Syarikat juga menghantar bantuan kapal penyelamat ke pengairan terbabit. 

Bayangkan keadaan misi menyelamat apabilan digerakkan dan disepadukan dengan pelbagai negara, sudah tentu penyaluran sebarang maklumat terkini mesti dikoordinasikan agar tidak menjejaskan proses penyiasatan sebab dan musabab "kehilangan" MH370.

Sekecil-kecil bukti sudah boleh menjadi petunjuk utama atas kejadian ini.

4. Tidak Semudah Yang Dijangka

Misi mencari dan menyelamat tidaklah semudah yang disangka memandangkan ia berlaku di kawasan lautan yang luas dan menjadi rebutan antara negara. Jadi, hentikanlah sebarang spekulasi dan tohmahan.

MAS dan pihak penyelamat sedang berusaha sedaya upaya mungkin, saya pasti mereka bekerja keras untuk memastikan MH370 dapat ditemui semula. 

5. MAS Tetap Dihati

Kali terakhir MAS mengalami 'major incident' ialah pada tahun 1977 di Tanjung Kupang melibatkan 100 korban nyawa.

Selepas kejadian itu, MAS tidak pernah mengalami 'major incident' dengan korban mangsa yang besar selama 37 tahun, dalam ertikata lain MAS mencapai piawaian keselamatan pesawat yang kompeten dan diiktiraf oleh ICAO di samping pengemudian pesawat oleh juruterbang yang berpengalaman luas.

Bagaimanapun, secanggih mana sesebuah pesawat, sebarang kesilapan kecil pun boleh mengundang padah. Hanya takdir menentukan segala-galanya.

Salam takziah untuk semua keluarga mangsa MH370 dan yang pastinya MAS tetap dihati.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..