Jumaat, 10 Januari 2014

JAIS Tidak Perlu Maklumkan Serbuan - Pengerusi MAIS

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak sebelum membuat sebarang serbuan kerana ia hanya akan mengganggu proses penyiasatan, kata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).


Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa menegaskan, tindakan JAIS menyerbu premis Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) minggu lalu adalah berlandaskan Enakmen 1998 yang mana merupakan peruntukan undang-undang sedia ada di Selangor.

"Pihak MAIS juga menegaskan bahawa JAIS tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana ini akan mengganggu proses penyiasatan yang hendak dilakukan.

"Bagaimanapun tindakan pihak JAIS ini dilakukan setelah pihak MAIS mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan MAIS agar pihak JAIS mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 ini atau dengan kata lain menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Selangor," kata Mohamad Adzib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan ini datang selepas kerajaan Selangor semalam menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baru JAIS yang berkuatkuasa serta-merta memperuntukkan pihak berkuasa agama itu perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri sebelum apa-apa serbuan melibatkan perkara sensitif dilakukan.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di Shah Alam petang semalam.

"Kerajaan negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan MAIS dan JAIS untuk memastikan penguatkuasaan pada masa hadapan dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab," kata Abdul Khalid ketika sidang media sejurus tamat mesyuarat berkenaan.

"Ia (SOP) akan diimplementasikan sekarang dan sudah berkuatkuasa. Tiap-tiap tindakan akan dibuat bersama," katanya.

Tindakan Jais merampas 300 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat PBM tegasnya, bukan atas dasar cetakan Bible berkenaan di dalam versi bahasa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah telah digunakan di dalam Bible berkenaan.

"Ini mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenalpasti samada berlaku satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988," jelasnya lagi.

Mohamad Adzib berkata, tindakan JAIS itu hendaklah jangan disalah anggap sebagai satu tindakan bersifat menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana tindakan JAIS sekadar menguatkuasakan satu undang-undang yang sedia ada yang telah digubal menurut peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, ia tidak ada kena mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka," katanya.

Jais juga jelasnya tidak langsung mengambil tindakan menyekat penganut beragama Kristian  melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti yang diperuntukan di dalam Perlembagaan.

Beliau turut berkata, di samping Enakmen 1988 mengenai pengawalan penggunaan kalimah Allah, terdapat juga fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam yang lain.

"Malah fatwa Jawatankuasa Negeri ini konsisten dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82," katanya.

Tegas Mohd Adzib, Mahkamah Rayuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri dan lapan yang lain lawan Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur telah memutuskan pada 14 Oktober 2013 bahawa penggunaan kalimah Allah di dalam agama Kristian akan menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat dan kalimah Allah bukanlah merupakan asas atau tunjang utama kepada kefahaman agama Kristian.

"Keputusan kes ini walaupun sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, setakat ini keputusan berkenaan mengikat semua pihak di negara ini," katanya.

Jelasnya lagi, berikutan dengan fatwa yang dikeluarkan di peringkat negeri dan kebangsaan serta keputusan Mahkamah Rayuan dengan juga mengambil kira peruntukan undang-undang di bawah Enakmen 1988, Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan agar setiap tindakan yang bakal diambil oleh badan penguatkuasaan agama negeri Selangor perlulah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada yang terpakai di Selangor khususnya Enakmen 1988.

"Dengan penjelasan ini, MAIS meminta orang ramai tidak mengambil kesempatan mempolemikkan isu ini agar penyiasatan dapat dijalankan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak demi mencapai matlamat penyiasatan yang adil dan efektif." 


Kenyataan Menteri Besar Selangor 

 
Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan dua arahan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung tindakan jabatan itu menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia, Petaling Jaya Khamis lalu.
Arahan pertama yang diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini ialah JAIS perlu memulangkan 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas, jika kitab penganut Kristian itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Arahan kedua pula ialah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, di mana JAIS wajib mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Exco-exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan JAIS yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain dilakukan.
Berhubung arahan pertama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah memulangkan Bible itu perlu dilakukan jika kesemua kitab yang dirampas mendapat pengesahan KDN selain mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara berkaitan penganut Kristian yang diputuskan oleh kerajaan pusat sebelum ini.
Antara perkara yang terkandung dalam resolusi itu menurut Abdul Khalid ialah membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak Bible bahasa Melayu.
"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab itu memenuhi resolusi berkenaan, kita akan mengarahkan JAIS untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Bible Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
JAIS melakukan serbuan berasaskan peruntukan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di negeri ini.
Mengulas lanjut arahan tersebut, Khalid berkata, JAIS bagaimanapun boleh meneruskan siasatan mengenai perkara itu selain menyiasat bagaimana Bible berkenaan boleh berada di premis persatuan terbabit termasuk mendapatkan maklumat jelas sama ada ia diedarkan di negeri ini atau ke negeri lain.
Namun, beliau menyatakan sekiranya kesemua Bible itu hanya disimpan di premis persatuan berkenaan dan tidak digunakan, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.
Berhubung arahan kedua pula, Abdul Khalid berkata, berdasarkan SOP baharu itu JAIS tidak lagi dibenarkan mengambil keputusan sendiri dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada khususnya perkara-perkara melibatkan sensitiviti penganut agama lain di negeri ini.
"Ada kalanya (tindakan penguatkuasaan JAIS) tidak memberikan kefahaman kepada masyarakat. Tujuan penguatkuasaan JAIS bukan sahaja untuk mempertahankan Islam tetapi juga perlu menangani kesangsian penganut agama lain.
"Maka, untuk masa depan, sebarang tindakan JAIS (yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain) wajib diadakan perbincangan terlebih dahulu di antara jabatan itu dengan MAIS (Majlis Agama Islam) dan Exco-exco kerajaan negeri," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..