Khamis, 30 Januari 2014

Rayuan Anwar Kes #Liwat2: Shafee Harap Mahkamah Persekutuan Buat Keputusan 11 Februari

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) berkata beliau berharap Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan pada hari yang sama iaitu 11 Februari, berhubung rayuan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terhadap pembebasan ketua pembangkang itu daripada tuduhan liwat.

Beliau berkata keputusan pada 11 Februari akan membolehkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar didengar pada 12 dan 13 Februari, tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.

Anwar, 66, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 2008.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 Feb untuk mendengar rayuan kali kedua Anwar untuk mengetepikan Muhammad Shafee apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes Selasa lepas.



Pelantikan Muhammad Shafee, seorang peguam terkenal, dibuat melalui kuasa Peguam Negara mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 20 Disember tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan itu dan memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah mengikut undang-undang.

Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan liwat dengan menggunakan maklumat daripada perisytiharan berkanun yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim untuk menyokong permohonannya.

Permohonan pertama Anwar ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas, dan berikutan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, tetapi turut ditolak. - Bernama, 30 Januari, 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..