Jumaat, 24 Januari 2014

#KalimahAllah: Kerajaan Kekal Dengan Penyelesaian 10 Perkara - @KhairyKJ @NajibRazak

Kerajaan tetap dengan pendiriannya berhubung penyelesaian 10 perkara dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible berbahasa Melayu.

Menurut laporan Bernama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata ketetapan itu telah dibuat oleh Kabinet dalam mesyuaratnya semalam.

“Ini merupakan antara tiga keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet berhubung isu tersebut dalam mesyuarat mingguannya semalam.

“Pendirian (kami) jelas. Kerajaan Persekutuan komited dalam penyelesaian 10 perkara itu. Namun penyelesaian 10 perkara tersebut tidak boleh mengatasi enakmen agama Islam negeri,” kata Khairy kepada pemberita, pada Khamis.

Menurut beliau, penyelesaian tersebut adalah jawapan terbaik kepada isu serbuan dan rampasan kitab Bible bahasa Melayu dengan kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) awal bulan ini.

Berkenaan isu rampasan tersebut, Khairy berkata kerajaan negeri Selangor patut mengambil langkah untuk menyelesaikannya.

Katanya kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan kerana undang-undang hal ehwal agama Islam adalah tertakluk di bawah enakmen negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang.

Jelas beliau, untuk sesebuah perbincangan itu berlaku, isu tersebut mestilah dibawa ke peringkat negeri terlebih dahulu kerana ia merupakan isu peringkat negeri.

Katanya Kabinet juga telah bersetuju untuk menunggu isu tersebut reda terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Isu penggunaan kalimah Allah ini berbangkit selepas JAIS merampas Bible dalam bahasa Melayu dan Iban daripada Gereja Bible Society of Malaysia di Petaling Jaya pada 2 Januari lepas.

Ia adalah rentetan daripada kes mahkamah antara akhbar mingguan Katolik, Herald dengan Kementerian Dalam Negeri dan beberapa pihak lain berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu.

Mahkamah Rayuan pada Oktober tahun lalu memutuskan melarang akhbar mingguan berkenaan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahasa Melayu.

Keputusan itu mencetuskan polemik kerana kabinet pada April 2011 membuat jaminan 10 perkara untuk menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible di Sabah dan Sarawak yang antara lain tidak melarang penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..