Rabu, 25 Ogos 2010

:: ISU HUDUD ::

#1#

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini beliau tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Namun, kata Nik Aziz, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.

Karpal berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara sekular.

Karpal berkata pada 1988, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar.

- Bernama


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadi pemimpin parti pembangkang itu.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

"Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di Kota Baharu hari ini.

Nik Abdul Aziz (kiri) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal semalam yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau pada Khamis lepas bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," kata Karpal.

Mursyidul Am PAS itu berkata beliau yakin Karpal menentang hukum hudud kerana tidak mendapat penerangan yang jelas mengenainya.

"Kebanyakan pemimpin DAP adalah terdiri daripada golongan berpelajaran, mereka sepatutnya mendapat penerangan mengenai perkara itu (hudud) daripada mereka yang arif di peringkat pusat," katanya dan menurutnya beliau sedia memberikan penerangan mengenai hukum hudud kepada Karpal.

Ketika ditanya apakah tindakan PAS untuk mengelak wujudnya suara-suara sumbang daripada rakan politiknya berhubung isu hukum hudud itu, Nik Abdul Aziz berkata ia adalah sesuatu yang sukar.

"Nak mengelak tu memang tak boleh...tugas kita ialah memberi, menerangkan kepada manusia jalan ke arah kebaikan," katanya.

--Bernama

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Beliau, yang juga menteri besar Kelantan, menganggap kenyataan pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Nik Abdul Aziz berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir dari pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat PAS itu, ia merupakan pendapat peribadi masing-masing.

"Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar PAS itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS, sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri, bukannya dari DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu salah, kata Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Mengenai pengeluaran lesen minuman keras di negeri ini, beliau mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan lesen premis perniagaan untuk menjual minunam keras di kalangan bukan Islam di negeri ini.

"Kerajaan hanya mengurus atur lesen premis penjualan minuman arak kepada bukan Islam, tetapi tetap tidak membenarkan orang Islam minum minuman keras itu.

"Kita juga tetap tidak mengeluarkan lesen untuk premis perjudian, kerana judi diharamkan oleh semua agama," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti pembangkang mahu kerajaan negeri pimpinan PAS Kelantan membuktikan tidak mengeluarkan lesen judi dan arak di negeri itu.

- Bernama

#4#

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya menghentikan perbalahan mengenai ura-ura hukum hudud akan dilaksanakan jika mereka membentuk kerajaan persekutuan.

Menurut Dzulkefly sekiranya perbalahan umum itu berterusan, maka sejarah akan berulang yang menyaksikan pakatan pembangkang menumbangkan sesama mereka. Kali terakhir, kejadian seumpama itu berlaku pada 2001 apabila DAP meninggalkan pakatan Barisan Alternatif .

Katanya, pemimpin Pakatan sepatutnya menggunakan rangka kerja polisi umum (CPF) yang digubal pada Disember lalu sebagai panduan.

"Pakatan harus faham apa yang perlu mereka dilakukan dalam politik campuran kerana setiap parti mesti mendukung polisi dan objektif umum yang sama,” kata Dzulkefly, yang juga adalah anggota urusetia kepimpinan Pakatan ketika dihubungi.

"Dalam Pakatan, kita mempunyai alasan yang lebih daripada mencukupi untuk merangka polisi umum yang dapat diterima semua pihak.”

Sejarah mungkin berulang?

Pada 2001, DAP meninggalkan Barisan Alternatif secara tergesa-gesa apabila PAS berkeras mempertahankan bahawa parti itu akan menubuhkan negara Islam yang berpaksikan undang-undang Islam dan hukum hudud jika berkuasa.

Dzulkefly berkata pemimpin Pakatan mesti belajar dari sejarah dan mengelakkan pergeseran yang mungkin memecah-belahkan mereka sekali lagi.

Katanya, sekutu Pakatan - PAS, DAP dan PKR perlu fokus terhadap rangka polisi umum (CPF) dan matlamat mereka untuk pilihan raya umum akan datang, di samping menghormati ideologi masing-masing.

Dzulkefly menggesa rakan-rakan parti lain supaya menerima hakikat bahawa PAS adalah “parti Islam demokratik” yang beroperasi dalam rangka kerja demokrasi.

"PAS pula mesti fahami bahawa apa yang kami lakukan, kita mesti lakukan dengan mandat orang ramai. Kita tidak boleh paksa orang ramai terima Islam. Ini akan timbulkan kegelisahan dan ketakutan di kalangan bukan Islam dan ada kalanya orang Islam sendiri.”

Beliau menjelaskan hudud dan penubuhan negara Islam bukan sebahagian dari CPF dan jika ditakdirkan PAS memenangi semua kerusi parlimen yang ditandinginya pada 2008, parti Islam itu masih tidak berupaya melasanakannya tanpa sokongan daripada sekutu mereka di Pakatan.

Bertelagah sampai kiamat

"Bagi pilihan raya ke-13, agenda ini bukannya relevan kerana kita bukan berlawan sesama sendiri. Selagi BN mengeksploitasi dikotomi ini, ia menjadi tumit Achilles bagi Pakatan.

"Dan selagi hudud dan penubuhan negara Islam menjadi satu momokan untuk DAP manakala PAS pula menentang negara sekular, maka kedua-dua mereka akan bertelagah sehingga hari kiamat, maka BN dan Umno akan terus menguasai negara ini dan kita boleh lupakan hasrat mengambil-alih kerajaan persekutuan.”

Pengerusi DAP Karpal Singh dan penasihat parti itu, Lim Kit Siang, baru-baru ini sekali lagi bertikam lidah dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan hukum hudud dilaksanakan jika ditakdirkan Pakatan mengambil-alih kerajaan persekutuan.

Menurut Nik Aziz undang-undang Islam diperlukan bagi membanteras gejala sosial, tetapi Karpal dan Lim bertegas, perlembagaan Malaysia menentukan bahawa negara ini akan ditadbir oleh undang-undang dan konvensyen sekular.

#########################################################

Inilah pertelingkahan yang sedang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Kita semua maklum bahawa DAP sering mengeluarkan kenyataan membantah Malaysia sebagai sebuah negara Islam. PAS jelas diperbodoh-bodohkan oleh rakan mereka didalam Pakatan Rakyat.

Malangnya, PAS seakan merelakan perjuangan mereka dipersendakan. Mursyidul Am PAS, Nik Aziz patut menyedari perjuangan mereka tidak direstui oleh DAP maupun PKR. PAS sepatutnya berjuang bersama UMNO dalam memartabatkan Islam di Malaysia. Namun setiap kali perpaduan antara PAS & UMNO dibangkitkan, Nik Aziz adalah individu pertama yang bangun menentang. Beliau mengeluarkan pelbagai kenyataan menghina UMNO dan beliau lebih rela bersama-sama DAP demi perjuangan politik yang akhirnya memecahbelahkan Melayu serta Islam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..