Ahad, 20 April 2014

Institusi Raja Termaktub Dalam Perlembagaan Negara - Raja Dr Nazrin Shah


Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah institusi raja bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua sebaliknya sudah termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Negara.

“Sepuluh peratus iaitu 19 dari 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan Raja, bermakna Malaysia yang mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggung jawab tertentu kepada Raja Pemerintah.

“Oleh itu, takhta perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan.

“Takhta juga perlu bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran,” titahnya sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-86 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

“Raja yang bersemayam di takhta kerajaan memerintah dan bukan mentadbir.

Raja Pemerintah titah Nazrin, merupakan payung kedaulatan negara dan wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum dan agama.

“Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

“Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian demi memastikan peranan takhta diterima baik dan ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara,” titah baginda lagi.

Bagi menyelami minda agar dapat lebih memahami tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan, terutama untuk menghadapi generasi muda, baginda titahnya, sentiasa mengimbas ingatan akan semangat permuafakatan yang telah terukir di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.

“Ia satu kontrak sosial menyentuh hubungan Raja dengan rakyat dan hubungan rakyat dengan Raja bahawa rakyat akan kasih dan setia kepada Raja yang adil berlandaskan semangat “Raja adil – Raja disembah”.

“Beta juga amat insaf bahawa daulat dan darjat seseorang Raja “tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek.”

“Justeru itu, keluhuran institusi Raja perlu dipelihara daripada sebarang penodaan dan dikawal dari sebarang pencemaran untuk memastikan warga kekal menabur bunga setia,” titah Nazrin lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..