Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUMM) hari ini menggariskan tiga penetapan berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Penetapan itu dinyatakan sendiri oleh Ketuanya, YB Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pergerakan tersebut di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, petang tadi.
Tiga penetapan tersebut adalah:
•Siasatan yang benar-benar komprenhensif dan menyeluruh samada di pihak ketua audit negara ataupun oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Ini perlu dibuat agar dapat menjawab segala spekulasi, tohmahan dan pertanyaan yang telahpun dibuat berkaitan dengan 1MDB dan ianya dapat dijawab dengan lengkap.
• Wujudkan satu pelan pemulihan yang holistik berkenaan dengan pengurusan syarikat 1MDB itu sendiri.
“Difahamkan bahawa akan ada pelan pemulihan yang akan dibentangkan dalam jemaah menteri minggu ini. Harapan pemuda adalah plan tersebut harus betul-betul merupakan satu ‘holistic recovery plan’.
“Kita tidak boleh ada satu plan pemulihan berjangka masa pendek yang hanya dapat menyelesaikan pembayaran hutang dari sebulan ke sebulan kerana kita tidak mahu masalah hutang syarikat ini akhirnya akan membebankan kerajaan.
• Tindakan dan hukuman tegas kepada mereka yang bertanggungjawab ke atas kemelut dan masalah yang dihadapi oleh 1MDB pada hari ini. Walau siapapun individu tersebut, hukuman dan tindakan tetap harus dikenakan.
Beliau mahu setelah selesai proses siasatan maka mesti ada tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Sekiranya tidak ada tindakan, maka penyelesaian 1MDB ini tidak akan dapat diterima oleh rakyat sebab rakyat nak tahu siapa yang langgar bas. Orang yang langgar bas mestilah kena hukum,” tambahnya lagi.
Selain itu Khairy juga menegaskan bahawa pendirian berhubung penetapan tersebut sama sekali bukan merupakan agenda politik.
“Kesetiaan Pergerakan Pemuda kepada institusi parti UMNO akan tetap dipertahankan namun permasalahan yang sedang dihadapi ini perlu diselesaikan segera,” ujarnya.
Sumber - MediaUMNO
Kenyataan Media Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Azwanbro berkaitan isu kemanusiaan Rohingya.
Saya melihat dengan penuh kebimbangan terhadap keadaan yang dihadapi oleh 8,000 rakyat Rohingya dan pelarian Bangladesh yang masih terkandas di laut tanpa makanan dan air.
Tindakan dan penganiayaan kerajaan Myanmar terhadap rakyat Rohingya tidak lagi menjadi perkara domestik tetapi ianya diletakkan sebagai krisis kemanusiaan serantau yang perlukan tindakan segera oleh komuniti ASEAN.
Saya menggesa kerajaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk mengadakan mesyuarat tergempar dan membuat tuntutan bahawa kerajaan Myanmar menghentikan diskriminasi terhadap rakyat Rohingya dimana hampir 1 juta Rohingya telah dinafikan kewarganegaraan, kebebasan untuk bersuara, akses kepada pendidikan dan faedah lain di Myanmar lantas membawa kepada penghijrahan tersebut. Pemimpin ASEAN juga perlu memainkan peranan yang aktif untuk menyediakan bantuan kemanusian sementara menunggu penyelesaian jangka masa panjang.
Pemuda UMNO akan menyertai beberapa organisasi dan individu untuk menghantar apa sahaja bantuan yang perlu bagi pelarian terkandas, termasuk air minuman yang bersih dan makanan dalam tin bagi membantu mereka yang sedang di dalam keadaan terdesak.
Memandangkan ini adalah isu serantau, Pemuda UMNO juga akan menulis kepada semua pemimpin muda seluruh negara dibawah naungan ASEAN bagi mengambil pendirian yang lebih proaktif dalam membantu nasib pelarian Rohingya. Ini adalah masa untuk bertindak, bukan hanya untuk untuk berbincang, dan hanya tindakan serantau dapat menangani krisis serantau ini.
Krisis pelarian ini menonjolkan kesepakatan kita dalam menangani perbalahan, samada baik mahupun buruk. Jika tidak dibendung, ianya akan terus mendorong kepada sikap kebencian dan sifat tidak berperikemanusiaan terhadap golongan yang tidak berdosa, perbezaan darjat dan membawa kepada kepada pembunuhan yang berleluasa.
Tetapi ada juga diantara mereka yang memilih untuk membantu dan melindungi pelarian, sekaligus menunjukkan potensi kita untuk memberi bantuan yang secukupnya dan memastikan golongan Rohingya ini terbela dan dapat menjalani kehidupan yang baik.
Kami yakin bahawa pihak tertinggi ASEAN akan berpegang teguh pada usaha penyelesaian krisis ini, dan kita perlu membuktikan bahawa kita mampu mencari jalan yang terbaik bagi menghalang isu ini dari menjadi lebih melarat.
KHAIRUL AZWAN HARUN
NAIB KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA
15 MEI 2015
Selamat Ulangtahun UMNO yang ke 69, tiada apa yang lebih mengembirakan dari melihat parti keramat ini kekal relevan dan terus menerus disokong oleh rakyat.
Jangan menyerah di kala sukar, kerana perjuangan kita hanya dinilai apabila tiba hari pilihanraya, di situ medan sebenar untuk kita tahu sejauh mana keringat ini membuahkan hasil.
Saya menyeru untuk semua ahli merapatkan saf dan terus yakin akan dalam perjalanan ini, saya memanggil semua untuk terus komited mempertahan parti keramat sini.
Selamat ulangtahun 69 UMNO, satu usia perjalanan yang mematangkan, dan satu usia yang cukup lama untuk memberi kita seribu satu pengajaran.
Tahniah buat pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62 tahun, selaku calon BN di Pilihanraya Kecil Rompin & tahniah juga buat saudara Suhaimi Bin Haji Sabudin, 43 tahun yang menjadi calon BN di Permatang Pauh.
Pergerakan Pemuda Barisan Nasional menyokong penuh calon-calon di atas, dan akan bersama-sama dengan jentera pilihanraya untuk memastikan kemenangan milik Barisan Nasional.
Semoga Allah akan permudahkan jalan kita dan menjauhkan kita dari segala fitnah dunia, serta saya doakan perjalanan kempen kali ini akan lancar tanpa sebarang gangguan.
Tolak segala unsur-unsur radikal dan ekstrim ketika berkempen, dan bersama-samalah kita memenangkan calon Barisan Nasional di kedua-dua PRK kali ini.
In Shaa Allah.
Sumber: facebook Azwanbro.
Sesungguhnya ada perbezaan yang sangat ketara antara pentadbir dan pemimpin, walaupun kedua-duanya berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan atau memberi arahan namun keduanya merupakan individu yang berlainan.
Perbezaan utama antara dua individu ini ialah seseorang pemimpin itu berani mengambil dan menanggung risiko untuk mencapai sesuatu matlamat manakala seorang pentadbir tidak akan bertindak atau membuat keputusan di luar lingkup tugasnya.
Sebab itu seringkali kita mendengar jawapan yang datang dari seorang pentadbir yang berbunyi begini “Oh maaf itu di luar bidang kuasa saya, kita tak boleh buat apa-apa untuk menyelesaikan masalah ini”.
Keberanian dan kesanggupan untuk mengambil dan menanggung risiko demi menyelesaikan masalah atau memperjuangkan sesuatu perkara itulah yang membezakan antara Wakil Rakyat dan Pegawai Daerah, antara Menteri dan Ketua Setiausaha dan antara seorang General di medan perang dan Sarjan Mejar rejimen yang memekik arahan dalam kawat atau perbarisan.
Sebab itu sewaktu DAP mencalonkan seorang anak muda Melayu berumur 27 tahun di Pilihanraya kecil Teluk Intan orang tidak berhenti-henti bercakap mengenainya. Bukan kerana calon mereka hebat, petah berhujah ataupun mempunyai kharisma yang tinggi, malah cukup bertentangan sekali, akan tetapi ianya menjadi perbualan anak-anak muda seluruh negara kerana dilihat DAP sanggup mempertaruhkan kerusi parlimen mereka untuk menghantar mesej bahawa mereka benar-benar komited dalam memenangi undi dan hati pengundi muda Melayu seluruh negara.
Lim Kit Siang berani mengambil risiko dalam membuktikan kata-kata mereka walaupun terpaksa menghadapi tentangan dalaman parti. Komitmen dan kesanggupan untuk DAP menakluk Putrajaya dibuktikan dengan tindakan mereka. Walaupun akhirnya keputusan itu membuatkan mereka tumpas di Teluk Intan namun itulah risiko yang perlu ditanggung dan dihadapi untuk mencapai satu matlamat yang lebih besar dan perkara seperti inilah yang membuatkan Lim Kit Siang menjadi pemimpin yang disegani di dalam DAP.
Sebelum ada suara-suara sumbang mula berbisik dan mengatakan nampaknya Pemuda UMNO sudah mula menjulang orang kuat DAP izinkan saya tawarkan perspektif ini, UMNO bukanlah satu parti yang maksum mahupun sempurna dan sekiranya kita boleh belajar sesuatu dari lawan kita apa salahnya.
Mengakui kelebihan dan kekuatan lawan kita bukanlah bererti kita menyokong mereka akan tetapi ia menunjukkan kematangan berpolitik kita untuk belajar dan mengambil iktibar bagi memperkukuhkan organisasi kita.
Seringkali kita asyik mendengar retorik melalui ucapan perhimpunan agung bahawa perlunya kita mendapat sokongan dan undi orang muda apatah lagi dalam pilihanraya umum yang akan datang segmen ini merupakan golongan yang akan menentukan kerajaan yang akan datang.
Namun itu hanya tinggal retorik sahaja, tindak tanduk kita tidak mencerminkan kata-kata yang dilaungkan dalam majlis-majlis ucapan dan ceramah, barangkali inilah yang dikatakan himpunan ‘syok sendiri’ yang mana kita berkumpul beramai-ramai sambil menjerit slogan.
Yang Berhormat Ketua Pemuda pernah berkata bahawa orang muda tidak melihat kepada Pergerakan Pemuda atau Puteri sahaja dalam membuat kesimpulan terhadap UMNO, mereka melihat parti secara keseluruhan.
Sebab itu proses peremajaan bukanlah setakat laungan atau mengadakan sayap orang muda sahaja akan tetapi ianya haruslah diikuti dengan percambahan baru dari segi idea, dasar, gerak kerja dan juga kepimpinan.
Sekiranya kita mengatakan bahawa parti kita benar-benar mahu mendekati dan memenangi orang muda maka kita harus membuktikan dari bentuk tindakan nyata dan bukan sekadar retorik kosong semata.
Gimik seperti ‘selfie’, berbasikal setakat 50 meter untuk bergambar atau acah-acah jogging di waktu petang sekiranya tidak diikuti dengan tindakan jitu maka kita akan nampak tidak ikhlas dalam perjuangan serta janji kita. Janganlah anggap bahawa untuk memenangi undi orang muda setakat cukup dengan mempunyai akaun instagram semata-mata.
Seringkali kita mendengar pemimpin atasan mendesak untuk pergerakan pemuda dan puteri menarik golongan profesional muda, pemikir dan mereka yang kritis. Malah banyak kali kita mendengar teguran mereka ini terhadap pergerakan pemuda dan puteri atas kesukaran untuk menarik golongan ini dalam jumlah yang besar.
Namun sekiranya tanggungjawab dan tugasan yang diberikan hanyalah setakat konvoi bermotorsikal, menggantung poster atau untuk duduk di pondok panas mengisi data maka setakat itulah kualiti aktivis dan ahli yang dapat kita tarik.
Apabila di pihak lawan menampilkan ahli parlimen muda yang petah berpidato serta berhujah manakala kita hanya setakat berani beri tanggungjawab untuk konvoi bermotor janganlah marah dengan pergerakan sayap sekiranya golongan professional jauh dari UMNO.
Usahlah risau dan melompat, sesungguhnya pergerakan Pemuda UMNO tetap setia dan komited terhadap kepimpinan. Ikrar sokongan serta janji kepada kepimpinan sesekali tidak berubah, namun isi hati serta pendapat ini diluahkan untuk mengingatkan kepada pimpinan tertinggi bahawa kita harus melihat sokongan luar dari ruang lingkup parti kita, apa guna kalau kita mendapat sokongan kuat di hampir kesemua 191 bahagian UMNO akan tetapi tergugat kedudukan di 222 kerusi parlimen Malaysia.
Saya kira sudah tiba masanya kita berani mengambil risiko untuk merealisasikan transformasi politik yang seringkali dilaungkan, sesungguhnya kita harus dilihat memimpin di luar ruang lingkup majlis-majlis dan himpunan anjuran sendiri, janganlah setakat menjadi Sarjan yang melaung arahan memimpin perbarisan akan tetapi perlulah ada kepimpinan seorang Jeneral yang mengetuai angkatan di medan pertempuran.
Sumber: facebook Azwanbro.