Selasa, 1 September 2015

#PemudaUMNO Kecam Tindakan Biadap & Melampau Peserta #Bersih4 - @Azwanbro @KhairyKJ @NajibRazak @PPUMonline


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) kecewa dengan kegagalan penganjur Bersih 4.0 untuk memastikan para peserta perhimpunan haram itu menjaga disiplin dengan baik, sehingga sesetengah daripada mereka tanpa segan silu telah menimbulkan provokasi melampau.

Tindakan segelintir mereka yang melaungkan kata-kata kesat serta memijak-mijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah memberi mesej bahawa para peserta tersebut secara total telah menolak kepimpinan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.

Jelas sekali, budaya asing yang tanpa segan-silu mengkritik individu atau pemimpin secara terbuka di tempat awam telah diangkat sebagai pesta memaki-hamun pimpinan negara dalam perhimpunan haram di ibu kota hujung minggu lalu.

Dalam PPUM memuji kecekapan dan ketenangan pihak berkuasa menghadapi perhimpunan itu tanpa sebarang tangkapan atau semburan gas pemedih mata, sayap kami tetap kecewa kerana para pelaku tindakap biadap memijak potret dua tokoh pemimpin Melayu itu sehingga kini masih bebas.

Oleh itu, kami menggesa Timbalan Perdana Menteri, selaku Menteri Dalam Negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas para pencetus provokasi seperti insiden memijak gambar berkenaan agar mereka dikenakan tindakan undang-undang yang berpatutan.

Gunakan segala teknologi seperti rakaman video, gambar dan sebagainya untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka pengadilan. Sudah tiba masanya untuk bertindak ke atas segelintir mereka yang cuba menyemai unsur kebencian dalam kalangan rakyat. Sememangnya insiden memijak gambar pemimpin dan mengeluarkan kata-kata kesat bukan satu amalan demokrasi yang matang.

PPUM khuatir rakyat akan terus gelisah dengan perkembangan tidak sihat ini dan mendapat gambaran yang salah tentang hubungan kaum di Malaysia, jika golongan ini dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Khairul Azwan Harun
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia
1 September 2015

Jumaat, 28 Ogos 2015

@Azwanbro Selar Kenyataan Pemuda MCA Benarkan Ahli Sertai #Bersih4 @KhairyKJ @NajibRazak


Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Khairul Azwan Harun menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda MCA, YB Senator Chong Sin Woon yang secara terbuka membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan Bersih 4.0.

"Saya merujuk kepada kenyataan Saudara Chong Sin Woon dalam akhbar The Star yang secara terbuka membenarkan ahli pemuda MCA untuk menyertai Bersih 4.0," ujar Azwan.

Chong yang memegang jawatan Naib Pengerusi Pemuda BN tidak sepatutnya menyokong gerakan pihak yang mempunyai matlamat menjatuhkan kerajaan.

"Ingin saya ingatkan Saudara Chong bahawa beliau memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi di dalam Pergerakan Pemuda BN dan tidak sepatutnya untuk ahli kita menyertai atau menyokong pergerakan yang mempunyai matlamat untuk menjatuhkan parti dan kerajaan kita. 

Tambah Azwan, kenyataan seperti ini boleh diibaratkan seperti satu tikaman dari belakang dari rakan komponen. 

Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut mengingatkan Chong bahawa beliau serta Saudara Khairy (Ketua Pemuda UMNO Malaysia) pernah dilabel dengan pelbagai nama oleh kumpulan tertentu berikutan tindakan mereka mempertahankan kerajaan dan rakan-rakan komponen BN.

"Selaku pemimpin kami faham nilai persahabatan dan ikatan antara kita dan kami meletakkan kepentingan Barisan Nasional lebih dari kenyataan dan pendirian populis jangka masa pendek.

"Sekiranya beliau tidak mampu mempertahankan kerajaan mungkin beliau perlu memikirkan semula tentang kedudukan beliau di dalam kerajaan," ujar Azwan lagi dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman media facebook miliknya, hari ini.

"Kami meminta untuk Pemuda MCA memperbetulkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu ini demi kebaikan dan kepentingan Barisan Nasional," katanya.

Dalam rombakan kabinet bulan lalu, Chong Sin Woon telah dilantik sebagai senator Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan.

Rabu, 26 Ogos 2015

#PemudaUMNO Msia Anjur Majlis Bacaan Yassin, Tahlil & Doa Selamat Sambut Ulangtahun Ke-66 @KhairyKJ @Azwanbro @NajibRazak


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada hari ini meraikan ulangtahun ke 66 penubuhannya dengan menganjurkan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat di Surau Ar-Rahman Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata sambutan ringkas itu bertujuan memperingati tokoh serta kepimpinan Pemuda terdahulu selain mendoakan kesejahteraan kepada parti, pimpinan serta negara dalam menempuh cabaran semasa hari ini.
“66 tahun bukan jangka masa yang pendek. Kalau ikut usia manusia dah warga emas. Hari ini Pemuda perlu relevan dengan kehendak semasa... dunia semakin dinamik. Jadi harap kepimpinan Pemuda seluruh negara mempunyai sikap serta sifat dinamik untuk kita menyesuaikan diri terutama dalam keperluan kita memiliki ilmu pengetahuan dan memahami kehendak generasi muda hari ini.

“Jadi peringatan buat diri saya serta kepimpinan Pemuda seluruh negara kita mesti ambil iktibar pengalaman yang lepas dan lihat kembali apa yang kita perlukan di masa depan iaitu mesti menjadi sebuah kuasa yang boleh generasi muda dan rakyat terima sebagai kepimpinan yang mampu memperjuangkan isu rakyat dalam konteks untuk membawa negara ini ke tahap yang lebih baik. Dan itulah yang sedang kami usahakan… In Sha Allah,” katanya dalam satu sidang media selepas selesai upacara memotong pulut kuning sebagai gimik sambutan ulangtahun sayap pergerakan parti UMNO tersebut.


Pada majlis berkenaan juga, Pemuda UMNO turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan D'Murni Kasih, Ulu Kelang.
Turut hadir, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Sahfri Abd Aziz dan barisan kepimpinan Pemuda UMNO yang lain.
"Saya juga ingin menyarankan agar pimpinan Pemuda UMNO di peringkat bahagian seluruh negara turut sama mengadakan majlis doa selamat dan tahlil arwah berkenaan bagi mengenang jasa tokoh terdahulu selain mendoakan agar parti dan kepimpinannya serta negara sentiasa dalam rahmat dan dilindungi Allah S.W.T," ujarnya.


Jumaat, 31 Julai 2015

#NahasMH17: Pemuda UMNO Kecewa Keputusan Russia, Gesa Kementerian Luar Hantar Bantahan @Azwanbro #PemudaUMNO


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Russia menggunakan kuasa VETO menolak penubuhan tribunal antarabangsa nahas MH17 bagi mencari keadilan buat mangsa.

Kekecewaan tersebut dinyatakan oleh Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun melalui muatnaik halaman facebooknya, hari ini.


Menurut beliau, Pemuda UMNO sentiasa konsisten dengan  pendirian bahawa keluarga mangsa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya berhak untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran dengan membawa pihak yang bertanggungjawab atas nahas tersebut kemuka pengadilan.


Malah kata beliau, hasrat tersebut telah dinyatakan lebih setahun lalu melalui satu memorandum yang telah disampaikan ke kedutaan Russia dan Ukraine.


Timbalan Pengerusi Pemuda BN Malaysia, Azwan mengetuai lebih 2000 belia pelbagai NGO menyerahkan memorandum ke kedutaan Russia, Ukraine dan PBB mendesak satu penubuhan badan siasatan menyiasat punca nahas MH17 - 22 Julai 2014

Tambah Azwan lagi, Malaysia mempunyai hubungan erat dan merupakan rakan baik kepada Russia di rantau ASEAN.

"Adalah amat mengecewakan sekiranya pihak kerajaan Russia tidak mengambil kira hubungan ini dan saya mendesak supaya Menteri Luar kita menghantar bantahan serta makluman kekecewaan kita kepada rakan sejawat beliau.

"Sekiranya Russia berpendapat bahawa ini bukan jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masaalah ini maka wajiblah mereka mencadangkan alternatif yang dapat menyelesaikan kemelut ini," ujarnya.

"Bagi pihak keluarga mangsa dan rakyat Malaysia kami teguh dengan pendirian bahawa keadilan dan kebenaran mesti diperjuangkan," tegas beliau lagi.


Khamis, 30 Julai 2015

#NKPUM @Azwanbro Fail Saman Terhadap @RafiziRamli #PemudaUMNO #MARA


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun hari ini bertindak memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah terhadap YB Mohd Rafizi Ramli yang telah memfitnahnya isu pembelian hartanah yang dilakukan oleh MARA di Melbourne, Australia.

Azwan telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang setelah tempoh yang diberikan untuk Naib Presiden PKR itu menarik balik kenyataan memfitnah yang pernah dikeluarkan itu tamat.

"Tindakan ini diambil setelah tempoh yang saya berikan kepada beliau untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan telah tamat.


Azwan menunjukkan salinan laporan Polis yang dibuat keatas Rafizi pada 8 Julai lalu.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa dakwaan beliau itu adalah tidak betul dan berniat jahat terhadap saya serta Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, " ujarnya.

Tegas beliau lagi, keputusan itu juga dibuat bagi menegakkan kebenaran selain mempertahankan maruah Pemuda UMNO Malaysia.

"Saya membuat keputusan ini atas dasar menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah insititusi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta jawatan yang telah diamanahkan kepada saya," tegas Azwan lagi dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke facebook beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa Pemuda UMNO menyokong serta menggalakkan sebarang perdebatan, perbezaan pendapat serta percambahan idea secara sihat tanpa membudayakan pembohongan yang boleh merosakkan suasana politik di negara ini.

"Sekali lagi ingin saya ingatkan kepada semua bahawa Pemuda UMNO dan saya sendiri menyokong serta menggalakkan perdebatan sihat, perbezaan pendapat serta percambahan idea namun kita tidak boleh biarkan budaya pembohongan serta penipuan berleluasa kerana ini akan merosakkan suasana berpolitik di negara kita ini," tambah beliau lagi.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..