Isnin, 23 Jun 2014

#KalimahALLAH: Gereja Katholik Tidak Dibenarkan Rayu Keputusan Mahkamah Rayuan - Mahkamah Persekutuan

Syukur Alhamdulillah. Itu ucapan dan luahan hati seluruh umat Islam yang tidak mahu nama Allah digunakan oleh Gereja Katholik bagi apa juga tujuan. 

Rasa syukur itu diluahkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini memutuskan bahawa Gereja Katholik tidak dibenarkan merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan 'The Herald' daripada menggunakan kalimah 'Allah', dalam versi bahasa Melayu terbitannya.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim, di dalam mahkamah yang penuh sesak pagi ini.

Beliau berkata itu adalah keputusan majoriti yang dipersetujui oleh empat hakim termasuk dirinya.

Ini bermakna, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald, terpakai dan gereja itu tidak boleh lagi mengemukakan rayuan.

Pada 5 Mac lepas, Arifin, mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri.

Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Turut bersidang dalam panel itu bersama Arifin ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Keputusan ini dibuat ekoran gereja itu memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt 2013, yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Melayu terbitannya.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutama bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Sdr Jamal Kay (pejuang yang sentiasa hadir pada setiap perbicaraan kalimah Allah) bersama barisan hakim yang memutuskan gereja Katholik tidak dibenarkan merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Kronologi Isu Kalimah Allah
31 Dis 2009;
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.

Pada 2009;
Gereja Roman Katolik diketuai Paderi Besar Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

14 Oktober 2013;
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

11 November 2013;
Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..