Isnin, 4 Ogos 2014

Isu Hina Agama: #PemudaUMNO Bidas Peguam Negara & Pihak Berkuasa @Khairykj @azwanbro @razlanrafii

Bangun daripada tidur, jangan terus lena!!!

Itu peringatan disuarakan Pemuda UMNO kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang sikapnya mencetuskan keresahan dan tanda tanya hingga menimbulkan tanggapan seolah-olah berlaku pilih bulu dalam pendakwaan berhubung kes menghina agama atau kaum di negara ini.

Ini berikutan sikap Peguam Negara sendiri yang begitu cepat mengambil tindakan apabila ada orang Melayu/Islam yang menghina agama atau kaum lain sedangkan apabila orang lain menghina Melayu/Islam termasuk dalam hal-hal yang paling sensitif malahan sesetengahnya membabitkan simbol rasmi negara, tiada pula tindakan diambil terhadap mereka.

Sebagai contoh, dalam kes seorang pemuda bernama Namewee yang mengubah lirik lagu kebangsaan Negaraku kepada Negarakuku dengan seni kata yang amat menghiris hati orang Melayu, anak muda itu dilepaskan begitu sahaja selepas meminta maaf dan dipanggil berjumpa seorang menteri.

Namun apabila seorang pendakwah, Shahul Hamid Seeni Muhammad dikaitkan dengan perbuatan menghina agama bukan Islam, dia terus ditahan walaupun kenyataan itu dikatakan dibuat dalam ceramahnya empat tahun lalu.

Terbaharu, seorang individu bernama Kelvin Yip dilaporkan telah menghina takbir Aidilfitri umat Islam menerusi Facebook menggunakan kata-kata yang teramat kesat, lucah dan menyinggung hati namun hingga kini, tiada tindakan diambil meskipun banyak laporan polis sudah dibuat.

Malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya juga menggesa supaya tindakan paling tegas diambil ke atas Yip.

Setakat ini, tiada tindakan oleh Peguam Negara yang dilaporkan berhubung kes itu.

Ini mendorong pemimpin Pemuda Umno di seluruh negara yang bimbang hal yang sedemikian jika dibiarkan boleh membawa akibat yang sangat buruk kepada negara, menyindir Abdul Gani supaya 'segera bangun daripada tidur lena'.


Di IPOH,  Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, sudah sampai masa untuk pihak berkuasa bertindak tegas bagi menghalang gejala yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian itu berterusan.

"Guna apa saja undang-undang yang kita ada. Jangan selepas minta maaf, lepas begitu saja," katanya.

WILAYAH PERSEKUTUAN - Dengan nada lebih tegas, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii menuntut Abdul Gani supaya memberi penjelasan berhubung kes-kes tertangguh sebelum ini yang melibatkan sensitiviti bangsa dan agama.

"Ustaz Shahul yang dikatakan membuat kenyataan berunsur perkauman dan menghina Hindu, begitu cepat dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan. Tetapi lebih menarik setelah tujuh hari berlalu, tiada apa-apa tindakan yang diambil terhadap Kelvin Yip walaupun beberapa laporan polis telah dibuat dan telah menjadi viral di laman sosial," katanya.

"Lebih mengejutkan adalah tindakan pihak berkuasa yang nampaknya mengamalkan ‘selective prosecution’ (pendakwaan terpilih) apabila terdapat satu kes yang diklasifikasikan sebagai ‘samseng jalanan’ terhadap seorang wanita yang dituduh bernama Kiki," katanya lagi.

Dengan nada berterus terang, anggota Exco Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abdul Rahman mengingatkan Peguam Negara supaya jangan bersikap pilih bulu dalam pendakwaan isu sensitiviti agama.

Menurut beliau, sikap Peguam Negara berdiam diri dalam kes berkaitan penghinaan agama oleh individu di laman sosial menimbulkan tanda tanya masyarakat, terutama orang Melayu/Islam.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim menyifatkan sikap biadab Yip tidak boleh dibiarkan.

“Kami mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkenaan. menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas ke atas Kelvin Yip dengan mendakwanya di mahkamah," katanya selepas membuat laporan polis  di Tampoi. [SH]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..